Home Berita PAS Terengganu

Nenek berusia 102 tahun terima suntikan vaksin dari cucu sendiri

165
SHARE

KUALA NERUS, 19 Julai – Penerima vaksin tertua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Fatimah Muda, 102, berkongsi detik istimewa apabila disuntik vaksin oleh cucunya sendiri, Mohd Borhan Hassan, 31.

Dia yang juga Jururawat Hospital UniSZA, berkata peluang yang diberikan itu cukup bermakna kerana berpeluang berkhidmat untuk nenek kesayangannya.

Warga emas itu ditemani anak ketiganya, Azhari Mohd, 56, ke PPV UniSZA dengan ambulans ke PPV UniSZA dan ditolak menggunakan kerusi roda dan dia turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Kesepakatan anak-anak dalam memberikan dorongan untuk memastikan nenek disuntik akhirnya berjaya pada hari ini dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Paling bermakna kerana saya diberi peluang untuk memberi suntikan kepada nenek,” kata cucu ke-20 Fatimah itu ketika ditemui di PPV UniSZA.

Menurutnya, sebagai cucu, dia bersyukur neneknya sudah menerima suntikan vaksin pertama lebih-lebih lagi dalam keadaan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat kini.

Mohd Borhan dalam masa sama turut menggalakkan orang ramai mengambil vaksin demi kebaikan bersama.

Fatimah mempunyai lima anak berusia 50 hingga 70 tahun dan 30 cucu serta 30 cicit kelihatan ceria sebelum dan selepas suntikan pertama akan menerima vaksin dos kedua pada 8 Ogos di PPV UniSZA.