Home Berita PAS Terengganu

Nelayan warga emas hilang seminggu lalu ditemui

70
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan tempatan warga emas yang hilang di perairan Chendering pada 16 Mei lalu ditemui hari ini.

Mangsa T Razali Wok, 74, dipercayai terjatuh laut dan hilang dalam lingkungan kira-kira empat batu nautika daripada Kuala Chendering ketika bot memasuki pengkalan Chendering sekitar jam 5.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihak beliau menerima makluman daripada nelayan tempatan mengenai penemuan objek terapung dipercayai mangsa.

“Bot Pengawal 16 telah digerakkan setelah menerima laporan penemuan mangsa di kedudukan 28 batu nautika timur Kuala Terengganu bagi membawa mangsa ke jeti Maritim Negeri Terengganu.

“Mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh pihak polis bagi proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa sejak dilaporkan hilang.

Beliau hadir di jeti Maritim Negeri Terengganu ketika mayat tiba sekitar jam 12.00 tengah hari bersama anak mangsa.