Home Berita PAS Terengganu

‘Jangan Manipulasi Harga Ayam’

69
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan pusat memberi peringatan tegas kepada semua pemain industri penternakan ayam agar tidak memanipulasi isu harga ayam di pasaran hingga membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) 2, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas  dalam  negara itu.

“Bekalan ayam dalam negara asalnya mencukupi jadi bila dikatakan berlaku sebaliknya, ada sesuatu yang tak betul di sudut perjalanannya.

“Memang kita tak nafikan memang ada ayam yang mempunyai penyakit dan beratnya tidak sesuai untuk dijual, namun situasi itu tidak berlaku sepanjang masa,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dalam masa yang sama, Nik Zawawi memberi jaminan bahawa kementeriannya tidak akan berdiam diri untuk memastikan  isu kenaikan harga ayam akan ditangani dengan cara yang terbaik.

Sementara itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri yakin mampu mengurangkan kenaikan harga ternakan seperti daging lembu dan ayam apabila kilang di Bukit Kor, Marang bagi mengeluarkan makanan ternakan hasil kerjasama GLC dan syarikat swasta siap dibina dan beroperasi akhir tahun ini.

Tambah beliau, dengan adanya kilang tersebut, kerajaan mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan import sebanyak 80 peratus dengan memanfaatkan sumber tempatan untuk menghasilkan makanan ternakan.

“Saya yakin hasil dari sumber tempatan akan mengurangkan kenaikan harga ternakan seperti daging lembu dan ayam apabila kilang itu mengeluarkan makanan ternakan,”ujarnya.