Home Berita PAS Terengganu

Nelayan ‘Kecut Perut’ Buaya Singgah di Pelabuhan Kemaman

3
SHARE

KEMAMAN – Penduduk dan nelayan di kawasan pelabuhan Kemaman dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya yang dilihat berenang santai berhampiran kapal semalam.

Kelibat buaya itu sempat dirakam beberapa individu dipercayai pekerja kapal yang kebetulan berada di lokasi kejadian, sebelum tular di laman sosial.

Salah seorang penduduk, Mohd. Alwi Zuraidi, 40, berkata kemunculan sang bedal itu membimbangkan pekerja kapal terutamanya penyelam yang kebiasaannya melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kapal di pelabuhan itu dan nelayan serta pemancing di kawasan Teluk Kalong.

“Sebelum ini tak pernah pun dengar ada buaya kawasan ini sebab kawasan laut. Bila ada buaya ni, semua pekerja dan nelayan kini lebih berhati-hati,” katanya menurut laporan berita Kosmo semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan buaya itu, pagi tadi.

“Pasukan Perhilitan Kemaman telah ke lokasi kejadian dan sedang melakukan pemantauan dan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa buah video memaparkan buaya tersebut berenang di kawasan pelabuhan itu menghampiri kapal.