DUNGUN, – Permint Plywood Sdn Bhd akan terus membantu semua pekerjanya yang terkesan berikutan penutupan sementara operasi kilang itu disebabkan perlaksanaan PKP penuh 3.0.
Ketua Pegawai PPSB, Ahmad Bazli Abidin, berkata pihak pengurusan akan berusaha sehabis baik melalui pelbagai mekanisme dalam membantu pekerja yang terjejas.
“Sepanjang pandemik COVID-19 ini mereka tidak dapat bekerja seperti biasa menyebabkan pendapatan terjejas.
“Justeru, sumbangan barangan yang dibuat menerusi program ini merupakan antara usaha memastikan setiap pekerja mempunyai makanan yang mencukupi.
“Kita sudah serahkan bantuan bermula dengan fasa pertama. Insya Allah fasa ketiga sedang kita usahakan, ” katanya ketika ditemui pemberita semasa pengagihan barangan keperluan fasa kedua di Bandar Al Muktafi Billah Shah, semalam.
Turut hadir Pengerusi Permint Plywood Sdn Bhd, Maliaman Kassim yang juga Adun Ajil dan Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Seorang penerima, Aslinawiti Abdullah, 40, melahirkan rasa syukur kerana menerima sumbangan tersebut dan terharu dengan kunjungan pihak pengurusan PPSB.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya sekeluarga kerana saya sudah tidak dapat bekerja sejak penutupan operasi sementara kilang lebih sebulan lalu,” katanya.
Normadiah Mohd Noor, 23, yang tinggal bersama sebelas ahli keluarga pula, gembira dan terharu menerima sumbangan tersebut.
“Terima kasih di atas keprihatinan semua dan sumbangan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, Abd Rahman Ali, 67, yang berkhidmat sebagai tukang kebun di kilang tersebut berkata, sumbangan yang diterima memberikan kegembiraan kepadanya dan isteri untuk kali ini.
“Saya bersyukur. Semoga lebih banyak organisasi atau orang perseorangan yang tampil membantu golongan terkesan seperti kami.
“Terima kasih banyak dengan bantuan diberikan yang dapat meringankan bebanan kami sekeluarga,” ujarnya.