Home Berita PAS Pahang

Naib Juara MAIS – Pahang rangkul kemenangan berganda

180
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 30 Jan :: Pasukan tuan rumah Pahang, meraih ‘kemenangan berganda’ apabila dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan Mahrajan Amal Islami SRITI (MAIS) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4, tahun 2022/2023, semalam.

Sabtu lalu, kontinjen Pahang telah menggondol gelaran juara keseluruhan di dalam temasya Alam Ria PASTI Malaysia 2022 di Pekan.

Mahrajan (festival) anjuran Jabatan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam   (SRITI) Malaysia, berlangsung sehari suntuk di Bandar Jengka,  Pahang menyaksikan Selangor mengungguli gelaran juara menewaskan Johor di tempat ketiga.

Festival ini menarik penyertaan 13 buah kontinjen dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berentap merebut kejuaraan di dalam acara-acara dipertandingkan.

Antaranya, tilawah al quran dan hafazan, azan dan iqomah, khutbah, pertandingan pidato dan bercerita Bahasa Melayu dan Inggeris, muhawarah (dialog) dan kalam jamaie (bicara berima).

Acara perasmian telah disempurnakan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Naib Penaung SRITI Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkapli.

SRITI merupakan usaha kesinambungan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang menawarkan pendidikan bersepadu peringkat rendah yang berasaskan kurikulum integrasi tahfiz, fardu ain dan fardu kifayah.