Home Berita PAS Pahang

Kesukaran dibayar dengan kemenangan – Ketua Kontinjen PASTI Pahang

194
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 30 Jan :: “Biarpun terpaksa menggalas tugas berat selaku tuan rumah, akhirnya segala kesukaran dibayar Allah dengan anugerah kemenangan,” kata Ketua Kontinjen PASTI Pahang bagi program Alam Ria PASTI Kebangsaan 2022, Ustaz Husaini Ismail.

“Kesukaran itu biasalah bagi mana-mana tugasan. AJK memang kekurangan dan fasiliti memang tiada. Untuk aktiviti besar ni perlu cari tempat di luar, bila buat di luar biasalah ada campur tangan politik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejayaan PASTI Negeri Pahang merangkul gelaran juara keseluruhan temasya Alam Ria PASTI Malaysia 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan, Sabtu lalu.

Kontinjen Pahang menyapu bersih acara sajak kategori lelaki dan perempuan, nasyid lelaki dan pertandingan bercerita perempuan sekaligus dinobatkan juara keseluruhan.

“Cabaran paling besar ialah dari sudut kewangan selain tekanan politik daripada pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan program ini.

“Kami all out jadi tuan rumah, Allah beri yang lebih baik lagi kepada kami iaitu kemenangan kepada negeri,” luah Husaini lagi yang juga Timbalan Pengarah 3 PASTI Pahang.

Beliau merakam ucapan penghargaan kepada guru-guru serta para tetamu luar Pahang atas kesudian hadir bersama rombongan dan mendoakan semoga segala pengorbanan dihitung Allah sebagai pahala di sisi-Nya.

Program tahunan anjuran PASTI Malaysia itu bertujuan memupuk keyakinan pelajar PASTI terampil di depan khalayak umum sebagai daie cilik di samping memasarkan PASTI sebagai salah sebuah produk pendidikan terbaik PAS.

Sebanyak 410 peserta dari 13 buah kontinjen PASTI seluruh negara beradu bakat merebut tempat di dalam lapan acara yang dipertandingkan merangkumi nasyid, bercerita, sajak, khutbah, hafazan, pidato, kalam jamaie dan azan.