Home Berita PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Sultan Selangor Bimbang Penularan Amalan Rasuah

461
SHARE

Shah Alam, Selangor | 25 Ogos 2020

RASUAH merupakan suatu gejala sosial yang diwarisi dalam setiap masyarakat zaman berzaman. Kegagalan mengawal atau mengekangnya akan mengakibatkan runtuhnya nilai peradaban masyarakat dan negara menjadi kucar-kacir.

Dewasa ini gejala rasuah terus menular dan terbaru Sultan Selangor bertitah bahawa gejala rasuah ini sesungguhnya adalah perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

Tuanku Sultan yang sentiasa sensitif dan prihatin akan nasib dan kebajikan rakyat Baginda melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan agensi penguatkuasaan khususnya di Negeri Selangor.

Baginda menyeru agar semua pegawai dan kakitangan penguatkuasa di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Agama Islam (JAIS) dan semua jabatan kerajaan negeri yang lain yang terbabit dalam menguatkuasakan undang-undang agar tidak menceburkan diri dalam amalan keji ini.

Ternyata kebimbangan Tuanku ini berpunca dari kelemahan dan kegagalan pimpinan kerajaan negeri sendiri dalam mengawal agensi dan jabatan di bawahnya sehingga rasuah terus menular di negeri ini.

Apakah inisiatif dan langkah yang telah diambil oleh Menteri Besar dan pimpinan Kerajaan Negeri PH dalam menyedarkan para pegawainya betapa jijik dan tidak bermaruahnya amalan mungkar ini? Penularan rasuah di Selangor sebagaimana dibimbangi Tuanku itu boleh dikawal dan dikekang kiranya kerajaan negeri serius dan memberikan fokus kepada langkah-langkah pemantauan yang lebih ketat selain memberi penekanan kepada latihan dan pendidikan agama.

Seorang ahli falsafah Rom iaitu Marcus Cicero dalam mengulas isu rasuah pernah berkata bahawa:

“Seekor ikan itu membusuk bermula dari kepalanya.”

Dalam satu pidato ulungnya dalam Senat Rom beliau pernah berkata:

“Kebusukan itu dimulai dari puncak. Kebusukan itu dimulai dari pemimpin-pemimpin.”

Semoga dengan ketegasan Tuanku itu, Menteri Besar dan pimpinan kerajaan negeri segera bertindak dan berikhtiar menurunkan indeks rasuah dalam negeri agar Selangor dapat terus sejahtera dan makmur serta rakyatnya hidup selesa bebas dari ancaman wabak rasuah.

Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor