Home Artikel PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Banjir Kilat Terus Menghantui Rakyat Kuala Selangor

472
SHARE

Dalam akhbar Sinar Harian hari ini sekali lagi isu banjir di Selangor dilaporkan. Kali ini berkenaan insiden banjir kilat di Kg Sentosa, Ijok, Kuala Selangor.

Banjir kilat di pagi 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Korban mengikut laporan berlaku setelah hujan turun berterusan selama lebih dua jam. Akibatnya kawasan penempatan penduduk yang merupakan kampung tradisional ini digenangi air sehingga musnah tanaman, dan rosak harta benda. Seorang penduduk mengadu rumahnya dipenuhi air berbau busuk dan berlumpur serta penuh sampah sarap.

Rakyat yang ditemui akhbar berkenaan mengadu bahawa punca banjir kilat yang berlaku adalah kerana pertumbuhan pesat projek perumahan baru disekeliling penempatan mereka. Apakah pihak berkuasa tempatan meluluskan projek yang dimaksudkan tanpa membuat kajian impak yang menyeluruh sehingga gagal mengawal kenaikan air hasil dari air sungai yang melimpah?

Mengikut tinjauan Sinar Harian ini bukan kali pertama banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan setiap kali hujan lebat turun malah ia telah berlarutan lebih 10 tahun tanpa penyelesaian yang meyakinkan.

Sedangkan menurut rekod kerajaan PKR dan DAP Selangor ini telah memerintah negeri ini sejak lebih 12 tahun lalu dan demikian juga ahli Parlimen Kuala Selangor, yang pernah menjadi Menteri Persekutuan selama 22 bulan telah mewakili kawasan ini sejak tahun 2008.

Mengapakah nasib dan kebajikan rakyat khasnya penduduk di Kg Sentosa ini tidak dibela dan diberi perhatian ADUN dan ahli Parlimennya? Bagaimana dengan kerajaan negeri?

Seorang penduduk memberitahu akhbar berkenaan bahawa mereka yang menjadi mangsa mahukan pembangunan yang tersusun di sekitar kawasan mereka dan bukannya janji retorik semata-mata. Mengapa sehingga rakyat perlu mengeluh sedemikian rupa?

Kerajaan negeri diharapkan segera beri perhatian dan memastikan anak-anak tempatan tidak lagi menjadi mangsa setiap kali hujan turun tanpa ada program penyelesaian yang meyakinkan.

Cukuplah kerajaan PH berpolitik, berilah perhatian pada nasib dan kebajikan rakyat sementara ada kuasa di tangan. Takkanlah tugas ADUN dan ahli Parlimen sekadar melawat kawasan banjir dan menghulurkan bantuan setiap kali air naik, itukah sahaja kemampuan kerajaan ini?

Semoga semua pihak bertanggungjawab serius menangani masalah ini dan rakyat segera diyakinkan melalui program komprehensif termasuk penebatan banjir yang efektif, semoga bencana malang ini tidak lagi akan berulang, bukan sahaja di Ijok malah seluruh negeri Selangor.

Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

13 Zulhijjah 1441H | 3 Ogos 2020

#PASSelangor

#BersamaMembawaSejahtera

#IslamMemimpinPerpaduan