Home Berita PAS Wilayah

Muslimat Wilayah Persekutuan Serius untuk Menang PRU-14

932
SHARE

Kuala Lumpur, hari ini menjadi titik permulaan kepada seluruh jentera Muslimat PAS Wilayah Persekutuan untuk terus komited melaksanakan gerak kerja bagi mencapai kemenangan dalam PRU 14 yang akan berlaku tidak lama lagi. Seperti yang telah dimaklum oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, WP akan bertanding di 9 kerusi parlimen daripada 13 parlimen keseluruhan yang ada.

Justeru Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif untuk melaksanakan sebuah program yang mengumpulkan seluruh jentera muslimat daripada semua kawasan bertujuan untuk memperkasa persiapan dan kesediaan jentera dari sudut kemahiran dan teknikal. Persiapan jentera mesti kemas daripada pelbagai sudut untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Kehadiran lebih kurang 200 orang jentera memperlihatkan kesungguhan yang diberikan tidak berbelah bahagi walaupun hampir separuh yang hadir ialah mereka yang telah lama berjuang kerana usia bukan penghalang bagi mereka untuk terus-menerus melaksanakan gerak kerja amal Islami ini.

Dalam ucapan penutup, Ketua Muslimat PAS WP, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan bahawa amanah pilihanraya ini terasa sangat berat ketika menerima bendera PAS daripada YB Tuan Guru Presiden sebagai simbolik kepada tanggungjawab kemenangan PRU 14 telah bermula.

“Semasa terima bendera daripada Tuan Guru, Ustazah terasa bagaikan satu amanah yang berat yang mesti dipikul untuk pastikan kita menang dalam PRU 14 nanti.”

Selain itu, beliau turut berpesan kepada semua jentera agar tidak sesekali melupakan pergantungan kepada Allah semata-mata kerana hanya Allah sahaja yang berhak memberikan kemenangan.

“Ustazah harap semua kawasan giat menganjurkan Gelombang AKIFI kerana di situlah kekuatan kita. Kalau boleh pastikan berjalan setiap malam. Kita bermunajat dan minta sungguh-sungguh dengan Allah. Sebutkan dalam setiap doa kita untuk menang dalam PRU nanti,”

“Cawangan-cawangan mesti digerakkan seaktifnya. Kerana semuanya bermula dengan cawangan. Muslimat mesti bantu-membantu sesama ahli,” antara pesanan yang diungkapkan oleh beliau pada ucapan penutup tadi.