Home Artikel PAS Sarawak

Muslimat Tonggak Kelangsungan PAS

141 views
SHARE

Oleh: ZARA ADEELA ARIF

PETRA JAYA: Peranan muslimat amat penting dalam menentu dan memastikan kelangsungan perjuangan PAS di bumi Sarawak, demikian tegas Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya, Habsah Bujang.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kelima Dewan Muslimat PAS Petra Jaya di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sarawak, Matang Jaya, di sini semalam.

Beliau juga menyeru Muslimat memainkan peranan dalam usaha merealisasikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, serta bersatu hati dan berganding bahu dalam merangka dan melaksanakan setiap program PAS.

“Biarlah kehadiran kita dirasai, dinanti dan dirindui oleh masyarakat sepanjang masa. Anggaplah setiap keperluan tenaga kita untuk setiap program dan aktiviti sebagai satu tuntutan yang wajib kita laksanakan bersama,” ujarnya yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Sarawak.

Beliau turut memaklumkan kesediaan PAS Petra Jaya untuk meletakkan calon untuk P.194 Parlimen Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Oleh itu, beliau mengajak para Muslimat untuk turut sama menyumbang tenaga semampunya di mana-mana posisi sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

Habsah juga menzahirkan rasa bangga dengan Muslimat PAS Petra Jaya yang telah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan setiap amanah dipikul.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Sarawak, Juwairiyah Matdin.