Home Berita PAS Pulau Pinang

Muslimat Pulau Pinang mantap budaya ilmu menerusi APSA

34
SHARE

Oleh Aishah Nur

TASEK GELUGOR, 25 OKTOBER – Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang kali ke-32 telah berlangsung tempoh hari di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hassan Hj. Ahmad, Pusat Pengajian Darul Hadis dengan kehadiran para perwakilan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang sesi lalu, Ustazah Hasanah Idris dalam ucaptamanya menyeru para muslimat agar sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan bernaung dibawah keimpimpinan ulama serta berusaha memiliki sifat mahmudah sebagai pedoman hidup.

“Perjuangan memartabatkan Islam ini susah, oleh itu jalankanlah tanggungjawab dengan kefahaman berdasarkan jalan dakwah yang ditinggalkan Nabi Muhamad SAW, melalui pendidikan, pertarbiyahan dan pemantapan ilmu agar dapat melahirkan para jundullah yang mempunyai kesatuan fikrah, istiqamah serta gerakerja yang berkesan,” tegasnya

Beliau kemudianya melancarkan Dana Wakaf Bangunan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Pulau Pinang, iaitu sebuah pusat pendidikan yang berorientasikan pentarbiahan semi akademik yang menawarkan kursus-kursus berasaskan nilai Alim-Sufi-Haraki yang bakal melahirkan muslimah yang mampu berjuang menegakkan amal ma’ruf nahi mungkar.

Inisiatif ini turut menerima pujian daripada Ketua Lajnah Pendidikan, Dewan Muslimat PAS Malaysia Dr. Azimah Ibrahim menyatakan bahawa APSA Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melancarkan dana pembinaan bangunan sendiri, walaupun usia penubuhannya masih baru berbanding negeri lain.

“Semoga terbina megah bangunan APSA Pulau Pinang,” ujarnya semasa hadir menyampaikan ucapan wakil pemerhati DMPM.

Berikutan pemilihan kepimpinan, seusai diumum menang tanpa bertanding sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang bagi sesi ini, Maziah Kamis dalam ucapan sulungnya menekankan pentingnya semua muslimat dipelbagai peringkat untuk saling berganding bahu membentuk satu pasukan yang dapat memikirkan serta melaksanakan agenda untuk merawat hati masyarakat yang sedang terluka.

Maziah yang merupakan Timbalan Ketua pada sesi lalu, menyahut saranan perwakilan dari Balik Pulau Noraliza Nordin agar PAS berperanan sebagai penawar serta pengubat luka rakyat Malaysia yang nyata kecewa dan terpedaya dengan janji palsu dan mainan politik PH sejak PRU ke14 yang lalu.

Pencapaian PAS menjadi sebahagian dari kerajaan persekutuaan serta pengalaman memerintah tiga buah negeri terbukti mampu mentadbir dengan cemerlang menjadi penyelamat dan memberi kelegaan kepada rakyat, ujar Noraliza lagi.

Turut dibangkitkan oleh perwakilan agar media baharu dimanfaat sepenuhnya dalam usaha bersepadu mendekati dan memberi kesedaran kepada golongan pengundi muda 18 tahun ini, yang bakal membuang undi buat pertama kalinya pada PRU kali ini.