Home Berita PAS Selangor

Banjir Pulau Pinang : Muslimat PAS Selangor Gerakkan Misi di Bukit Mertajam

1072
SHARE

BUKIT MERTAJAM, 11 Nov : Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) meluaskan khidmat baktinya dalam misi bantuan banjir dengan menggerakkan kekuatan di sekitar kawasan terjejas banjir terutama di Kampung Teluk, Alma, di sini semalam.

Rombongan tersebut dipimpin sendiri Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan bersama Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPNS serta Briged Muslimat DMPNS.

Turut serta mengiringi pergerakan mereka ialah Halwa Pulau Pinang yang bersama di lapangan bagi menyerahkan sumbangan dibawa untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Sebanyak 60 rumah di kampung tersebut telah diziarahi dan disampaikan sumbangan berupa makanan serta beberapa keperluan asas seperti pakaian dan lampin kanak-kanak.

Ustazah Wan Hasrina dalam harapannya mendoakan keadaan beransur pulih serta mangsa-mangsa banjir yang ditimpa musibah dapat bersabar dengan ujian.

Katanya, ujian tersebut mesti dihadapi dengan sabar dan memohon kepada Allah moga ianya menjadi penghapus dosa.