Home Berita PAS Sabah

Muslimat PAS Sandakan anjur kursus pengurusan jenazah atasi kekurangan tenaga pengurus

162
SHARE

Oleh: Shima Hussin
12 September 2022

SANDAKAN : Masalah kekurangan pengurus jenazah wanita berkebolehan mendorong Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Sandakan, menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Wanita, di Seri Ar Raudhah di sini, semalam.

Ketua Muslimat PAS Sandakan, Ummu Syifa Tasman berkata, pengurusan jenazah adalah fardu kifayah namun tidak ramai boleh melakukannya berikutan kekurangan ilmu untuk berbuat demikian.

“Masyarakat perlu menanam dalam diri bahawa kita perlu terlibat dalam selok belok ilmu pengurusan jenazah ini dan tidak mengharapkan orang lain,” ujarnya dalam majlis perasmian program yang dianjurkan oleh Lajnah Dakwah DMPK Sandakan itu.

Sementara itu, Pengarah Program, Nurbayah Madi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang meluangkan masa seharian untuk menimba ilmu pengurusan jenazah wanita.

Di dalam program tersebut, Pegawai Perubatan Awam, Dr. Nafsah Dulajis telah berkongsi berkaitan tatacara ringkas berkaitan carta alir pengurusan jenazah bermula daripada pengesahan KKM, PDRM sehinggalah JPN.

Menurut Dr Nafsah, maklumat ringkas tersebut penting namun hanya diketahui oleh sebilangan masyarakat saja.

Pengurus jenazah wanita kariah Indahjaya, Hajjah Syaperia Haji Abd Rahim telah dijemput bagi memberikan taklimat kursus.

“Mengurus jenazah memerlukan seseorang yang kuat semangat dan bersifat amanah kerana mereka bertanggungjawab bermula dari proses memandikan jenazah sehingga kafan sebelum disembahyangkan,” ujarnya.

Peserta telah belajar secara teori dan praktikal pengurusan jenazah wanita bermula selepas kematian hingga proses mengkafankan jenazah.

Kursus yang dihadiri oleh 45 orang peserta itu menyasarkan golongan wanita, sama ada yang bekerja mahupun tidak bekerja.