Home Berita PAS Sabah

Muslimat PAS Sabah persiapkan jentera hadapi PRU15

227
SHARE

Oleh : Suziana Ghani
15 September 2021

KOTA MARUDU : Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS) telah mempersiapkan jentera pilihanraya dari sudut perancangan strategik serta peningkatan kemahiran petugas di medan sasar bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin berkata, DMPNS perlu bersedia menghadapi cabaran dan rintangan menjelang pilihanraya.

Menurutnya, jentera pilihanraya muslimat PAS Sabah perlu fokus untuk meningkatkan pelbagai kemahiran bagi memperkasakan jentera dari setiap segi.

“Merujuk sirah, para sahabat bila pergi berjihad, mereka tidak fikir untuk kembali kerana mereka memikirkan syahid di jalan Allah,” katanya.

Tambahnya, jihad dalam pilihanraya adalah bagaimana kita berusaha meraih sebanyak mungkin undi dengan cara berkorban masa, jiwa dan harta.

“Ujian yang diberikan dalam perjuangan ini sesuai dengan kemampuan kita,” ujarnya lagi ketika Majlis Pelancaran Jentera HalWa, DMPNS yang diadakan secara dalam talian Ahad lepas.

Menurut Ketua DMPNS, Norsah Bongsu, jentera HalWa di setiap peringkat perlu memastikan gerak kerja mengikut perancangan dan sistem Petunjuk Prestasi Utama atau lebih dikenali sebagai “Key Performance Indicator” (KPI) yang telah ditetapkan.

Katanya lagi, semua jentera perlulah menjaga dua aspek penting iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

“Ahli perlu sentiasa berwaspada dengan unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan serta melemahkan gerak kerja organisasi yang mungkin datang daripada luar atau dalaman sendiri,” ujar beliau ketika merasmikan majlis.

Himpunan yang dihadiri oleh lebih 240 orang jentera itu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada seluruh ahli DMPNS di setiap kawasan.

Program itu berlangsung secara maya di aplikasi zoom bagi memastikan amanat dan taujihat pemimpin dapat didengari oleh semua ahli DMPNS.