Home Berita PAS Sabah

Muslimat PAS Sabah anjur JELAS rangka pelan tindakan

727
SHARE

Oleh : Hazimah Lanus
29 Oktober 2019

TAWAU : Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (JELAS) peringkat negeri Sabah telah diadakan di Balung River Eco Resort, dekat sini ahad lalu.

Program anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS) ini bertujuan merangka pelan tindakan disamping memberi kefahaman tentang teras yang terkandung dalam ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM).

Pengisian yang dihadiri kira-kira 150 orang muslimat PAS dari seluruh negeri Sabah itu telah disampaikan oleh Bendahari DMPM, Dr Che Faridah Ismail, AJK Lajnah Penerangan dan Media Baharu DMPM, Norhafiza Fadzil.

Dr Che Faridah selaku pembentang utama menyebut bahawa ‘Wanita Sejahtera’ yang digagaskan oleh Ketua Muslimat bermaksud wanita yang berasa damai dan tenang.

Tambahnya, sebagai penggerak parti, Muslimat PAS haruslah mempunyai disiplin yang tinggi dalam merelisasikan amanat dalam gerak kerja dan satukan kefahaman bagi memudahkan tindakan.

Disamping itu, Norhafiza dalam ucapannya pula menekankan kepada Muslimat PAS agar menjadi agen penerang yang berkesan buat orang ramai khususnya dalam konteks media baharu.

Tegasnya, Muslimat PAS haruslah menerang dengan ilmu dan berfikir di luar kotak namun masih berada dalam landasan syariat.

Program JELAS berakhir dengan ucapan penggulungan daripada Ketua Muslimat DMPNS, Norsah Bongsu yang menyebut Islam mesti menjadi penyelesaian dalam semua keadaan dan sepanjang masa.

Hadir sama dalam JELAS Negeri Di Bawah Bayu ini ialah Ketua Penerangan DMPNS, Fadilah Nordin, Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Media Baharu DMPNS, Norjannah Abdul serta beberapa orang Exco DMPNS.