Home Artikel PAS Pahang

Muslimat PAS Lipis ziarah mangsa kebakaran

75
SHARE

Oleh: NOR AINI ABDULLAH

LIPIS, 27 Apr: Dewan Muslimat PAS Kawasan Lipis telah menziarahi mangsa kebakaran di Taman Permai Fasa II kelmarin. Kunjungan itu diketuai oleh Ketua Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Lipis, Hasanah Ludin bersama tiga orang ahli jawatankuasa.

Kebakaran yang berlaku pada malam Isnin lalu melibatkan rumah yang dihuni pasangan suami isteri Rosli Awang Besar dan Nor Hasmah Mohd Yusof. Turut tinggal bersama ialah anak lelaki mereka dan adik Nor Hasmah yang hilang upaya.

Ketika kejadian hanya Nor Hasmah dan adiknya sahaja yang berada di rumah itu sementara suami dan anaknya berada di surau berhampiran menunaikan solat Tarawih.

Menceritakan detik-detik cemas, Nor Hasmah berkata beliau terhidu bau asap dari bilik hadapan dan terkejut apabila mendapati api telah marak. Beliau terus menghubungi bomba dan segera ke surau meminta bantuan.

“Ketika bomba sampai, api telah merebak ke bahagian hadapan rumah tetapi dapat dikawal daripada terus merebak ke rumah bersebelahan. Jemaah surau turut membantu dan jiran-jiran telah menyelamatkan adik saya,” kata Noor Hasmah dengan penuh hiba. Beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku.

 

Buat masa ini, Nor Hasmah sekeluarga tinggal di sebuah rumah tumpangan berhampiran. Beliau berharap agar mendapat sebuah rumah sewa yang berdekatan supaya mudah untuk urusan berulang-alik ke rumahnya.

Hasanah turut melahirkan simpati atas musibah yang berlaku dan berharap agar keluarga ini tabah dan reda menghadapi dugaan ini, lebih-lebih lagi dalam suasana bulan ramadan yang mulia ini dan hari raya Aidilfitri yang bakal disambut kelak.

Sebagai tanda simpati dan rasa perihatin, Dewan Muslimat PAS Kawasan Lipis telah menghulurkan sedikit sumbangan berupa wang tunai.