Home Berita PAS Pahang

Muslimat PAS Indera Mahkota pergiatkan dakwah menjelang PRU15

108
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 7 Julai ::  Muslimat PAS diperingatkan supaya menyampaikan dakwah ketika menghulurkan bantuan kepada masyarakat kerana PAS bukan semata-mata parti politik tetapi adalah parti dakwah.

“Kita menghulurkan bantuan wang ringgit, barangan dapur, ziarah dan sebagainya, adakah orang yang kita sering bantu, yang sering kita ziarahi semakin taat kepada Allah dan bertambah baik akhlaknya?,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota baru-baru ini.

Tambah beliau, PAS menyampaikan dakwah di setiap ruang masyarakat, menyampaikan risalah Islam kerana PAS sangat sinonim dengan majlis kuliah, street dakwah, dan mempunyai ramai pemimpin pendakwah.

Beliau yang juga sebagai Ketua Ameerah, turut menyentuh dan menghargai muslimat yang datang ke pawagam di Terengganu kerana mematuhi syariat seperti tiada percampuran lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, dikhaskan ruang untuk keluarga, tidak melampaui waktu solat dan yang paling ketara ada surau disediakan di pawagam-pawagam berkenaan.

Lantaran itu sangat penting bagi PAS untuk mempunyai kuasa bagi membentuk masyarakat supaya mematuhi syariat Allah dan kembali kepada Islam yang sebenar.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri Beserah, Andansura Rabu dalam ucapannya berkata, “Kita bukan saja berpolitik tetapi kita mendidik masyarakat untuk memahami Islam melalui pendidikan. Kita ada PASTI, SRITI, APSA, ILHAM dan sebagainya yang menjadi rangkaian untuk menegakkan Islam.

“Tempat kita bermesyuarat pada hari ini adalah salah satu sekolah yang dibina oleh PAS mengikut arus perdana untuk melahirkan para pelajar yang boleh menghafaz al-Quran,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Salleh dalam ucapan aluannya berkata, “Bagi mempertahankan kemenangan dalam PRU15 kelak, kita perlu ada pencapaian dalam tempoh jangka masa panjang dan tempoh jangka masa pendek.”

Beliau mengharapkan agar muslimat dapat menggalas tanggungjawab untuk melaksanakan gerak kerja yang telah disusun hingga ke akar umbi.

Mesyuarat Agung kali ke-18 itu telah dihadiri seramai 150 orang terdiri daripada 35 cawangan dalam kawasan Indera Mahkota.