Home Berita PAS Pahang

Muslimat PAS gigih kumpul dana bantu pembedahan remaja

211
SHARE

Oleh HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 15 Ogos : Muslimat PAS Indera Mahkota berjaya mengumpul dana RM12 ribu untuk membantu pembedahan anak yatim Muhammad Irfan Danial Muhamad Ridwan 18 tahun yang menjalani pembedahannya hari ini di Hospital UIA Kuantan.

Irfan telah mengalami kecederaan setahun yang lalu akibat kebakaran di kakinya ketika beliau mencurah petrol ke mesin rumput, namun petrol yang tercurah ke lantai simen yang panas telah mencetus kebakaran yang turut menyambar kakinya.

Walaupun telah mendapat rawatan yang sewajarnya, namun kaki remaja ini masih belum pulih, darah keluar setiap kali beliau cuba membuat kerja bagi membantu ibunya.

Ibunya Siti Aidil Fitri Ramli, 42 tahun, telah berusaha untuk mendapatkan bantuan dari Pusat Kutipan Zakat Kuantan melalui Hospital UIA bagi menampung kos pembedahan tersebut, namun pada tarikh yang telah ditetapkan, bantuan gagal diperolehi kerana permohonannya belum diproses.

“Saya rasa sangat sedih dan hilang punca ketika itu, tetapi Alhamdulillah bantuan dari Muslimat PAS yang telah mengumpul dana bagi anak saya dalam tempoh tidak sampai  dua minggu telah mencukupi malahan ada lebihan lagi.

“Saya rasa sangat terharu dan berterima kasih kepada muslimat di atas usaha membantu saya yang tidak mempunyai pekerjaan untuk mengumpul dana sebanyak RM12 ribu, semoga Allah saja yang membalasnya.” kata Siti Aidil Fitri.

Pengerusi Helwa Care Kuantan, Salawati Saleh berkata, “Kita cuba bantu sekadar yang mampu melalui kutipan dua badan iaitu Helwa Care Kuantan dan Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota.

“Mudah-mudahan dapat meringankan beban, dan ada sedikit lebihan dari kutipan tersebut, bolehlah digunakan untuk rawatan selanjutnya,” ujar Salawati lagi.

Beliau seterusnya melahirkan rasa sukacita dan berterima kasih kepada penyumbang-penyumbang seluruh tanah air yang telah bersimpati dan memberi sumbangan bagi membantu remaja ini.

Sebelum itu, penyerahan wang telah dilakukan di rumah Siti Aidil Fitri baru-baru ini untuk dibayar terus kepada Syarikat Nova Medika yang membekalkan bahan yang diperlukan oleh UIA untuk pembedahan tersebut.