Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Prihatin dengan kesempitan hidup golongan yang kurang berkemampuan, Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar (DMPKK) akan menganjurkan program Edaran Gulai Ayam Dan Bubur Lambuk kepada golongan berkenaan tidak lama lagi.
Menurut ketuanya, Norhasmayati Che Me, pihaknya merancang untuk melaksanakannya sebanyak dua kali iaitu pada 18 dan 25 April ini.
“DMPKK berasa terpanggil untuk membantu mereka yang tergolong dalam golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin yang kini di bawah pemantauan Lajnah Kebajikan DMPKK.
“Ketika ramai di antara kita mampu berbelanja besar di Pasar Ramadan dan menikmati juadah yang menyelerakan ketika berbuka, sebahagian daripada mereka (golongan kurang berkemampuan) terpaksa berbuka dalam keadaan serba kekurangan.
“Justeru, dengan adanya program sebegini, sekurang-kurangnya dapat memberi peluang untuk mereka berbuka puasa serta bersahur dengan rasa kegembiraan menikmati juadah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi di sini pagi tadi.
Tambah beliau, pihaknya merancang untuk membuat agihan kepada seramai 250 orang penerima.
Sehubungan dengan itu, DMPKK ujarnya, memerlukan sumbangan daripada orang ramai untuk menjayakan program tersebut.
“Kos keseluruhan program ini dianggarkan berjumlah RM2500 dan DMPKK amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kekurangan dana yang kami hadapi.
“Mereka yang ingin menyumbang,bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162143026936 dengan memaklumkan jumlah sumbangan untuk tujuan rekod menerusi Whatsapp di talian 019-6959518,” jelasnya lagi.