Home Berita PAS Perlis

Muslimat, JBS Perlis teroka kerjasama semarakkan aktiviti belia

441
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 11 Jan: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (DMPNPs) dan Ameerah Negeri Perlis hari ini mengadakan pertemuan bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Norhazita Kamaludin.

Pertemuan selama hampir sejam itu diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Perlis, di sini.

DMPNPs diwakili Ketua Penerangannya, Husna Hashim sementara Ketua Ameerah Negeri Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohd Halim hadir mewakili entiti berkenaan.

Menurut Husna, matlamat utama kunjungan berkenaan adalah bagi meneroka kerjasama yang boleh dibuat antara kedua-kedua pihak ke arah menyemarakkan lagi aktiviti sukan golongan belia di negeri ini.

“DMPNPs dan Ameerah Negeri Perlis komited untuk turut serta dalam usaha kerajaan dalam melahirkan golongan belia yang sihat dan cergas fizikal, emosi dan spiritual.

“Justeru, pertemuan dengan pihak JBSNPs yang berlangsung pada hari ini, adalah langkah pertama kami ke arah meneroka kerjasama tersebut,” katanya ketika ditemui.

Ujarnya lagi, antara keputusan yang dicapai dalam pertemuan berkenaan termasuklah menubuhkan persatuan belia bagi menggalakkan lagi penyertaan golongan berkenaan dalam aktiviti-aktiviti belia.

“Harapan kami agar kerjasama yang dibina ini dapat diperkukuh dari masa ke masa dan kami juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak JBPNPs atas kesudian untuk bertemu pada hari ini,” katanya.