Home Berita PAS Pahang

Muslimat Indera Mahkota siap siaga menghadapi PRU-15

127
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 30 Jan :: Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota (DMPIM) telah mengadakan dua bengkel dalam satu program untuk melahirkan penceramah-penceramah dan jentera parti yang mahir dan berkeyakinan tinggi bagi menghadapi PRU-15 nanti.

Program yang diadakan adalah Bengkel Pengucapan Awam oleh Lajnah Penerangan dan Media Baru (LPMB) manakala Taklimat Organisai dan Gerakerja Pilihanraya Muslimat oleh Jabatan Pilihanraya Muslimat (JPrM).

Ketua DMPIM Salwani Salleh dalam ucapan perasmiannya berkata, muslimat selalu sibuk dengan pelbagai urusan dan tanggungjawab, oleh itu program dua dalam satu ini sangat sesuai dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan kesempatan waktu yang ada.

Menurut beliau lagi, golongan yang berjaya di atas muka bumi ini adalah golongan yang sentiasa berpesan dalam kebenaran, mengajak kepada perkara-perkara kebaikan dan mencegah dari kemungkaran sebagaimana yang terkandung dalam surah al-Asr.

“Berbengkel adalah satu jalan untuk kita membina keyakinan diri untuk menjadi golongan yang berjaya, sebagaimana yang disebut dalam surah al-Asr dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat,” kata Salwani Salleh.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu yang dijemput sebagai penceramah untuk Bengkel Pengucapan Awam merasa kagum dengan DMPIM yang tidak pernah kendur dari berprogram demi mempertahankan kemenangan di DUN Beserah.

“Saya ucapkan tahniah kepada muslimat yang hadir pada hari ini yang mempunyai keazaman dalam diri masing-masing untuk menyumbang apa yang kita tahu, apa yang kita ada kepada masyarakat umum.

“Bila kita bersama dalam jemaah Islam, kerja kita adalah menyampaikan, bercerita, mengajar, mencegah, menyeru, semua tindakan ini memerlukan satu kamahiran, ia tak boleh dibuat saja-saja.

“Contohnya bila kita berdepan dengan orang yang sedang marah, macam mana cakap dengan orang yang sedang marah, bukan benda mudah, mereka akan datang dengan persepsi yang sangat berbeza berbanding dengan apa yang kita harapkan,” ujar Andansura Rabu.

Beliau yang juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, berkongsi ilmu dengan pengalaman beliau sebagai pensyarah di Open Universiti di Universiti Pertanian Malaysia, dan juga sebagai trainer dan consultant bebas selama hampir 15 tahun sebelum ini.

Dalam bengkel tersebut beliau menekankan kamahiran untuk bercakap perlu diasah, sentiasa dididik dan dipupuk supaya kemahiran itu semakin baik. Apabila berlaku kesilapan, perlu belajar bagaimana mèmperbaikinya, bukan merasa rendah diri dan meninggalkannya.

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya DMPIM, Salbiah Seeni Abdul menyatakan bengkel kedua-dua program ini adalah untuk memastikan jentera dapat memahami tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan agar dapat melaksanakan kerja dengan baik dan berkesan setelah memahami skop tanggungjawab bidang tugas masing-masing.

Program ini dihadiri seramai 50 orang peserta yang diadakan secara bersemuka di Dewan PUTRA Balok, Kuantan baru-baru ini.