Home Artikel PAS Sarawak

Muslimat Bintulu Muhasabah Diri Dan Perjuangan Di MAT

124 views
SHARE

Oleh: LAILA MAMAT

BINTULU: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bintulu telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-7 bertemakan “Muslimat Memacu Kemenangan” yang dilangsungkan di sini kelmarin.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS Negeri Sarawak, Ustazah Juliani Adin yang dalam ucapannya mengingatkan mengenai sirah Nabi Muhammad S.A.W berkenaan harta dan kehidupan.

“Dunia ini bukan milik orang yang bertakwa, dunia ini milik orang yang mengejarnya. Sebab itu mengejar dunia ibarat mengejar bayang-bayang.

“Kita tidak mampu menangkap bayang-bayang itu,” ujarnya menyeru menjadikan dunia sebagai ladang akhirat.

Sementara itu Ketua Muslimat PAS Bintulu, Fatimah Junaidi dalam ucapannya berharap Muslimat PAS Bintulu dapat mewajibkan diri dengan program jamaah yang telah disusun.

Pada mesyuarat itu, para perwakilan banyak menyentuh mengenai perjalanan aktiviti bersama masyarakat sekitar Bintulu yang melibatkan dakwah dan kebajikan.

Selain menjadikan mesyuarat tersebut sebagai medan muhasabah terhadap gerak kerja sepanjang tahun lalu, perwakilan juga berpeluang mendapat penerangan jelas mengenai perjalanan setiap lajnah dengan telus.

Di akhir majlis, hadirin telah dibawa bermuhasabah dengan dua persembahan sajak yang disampaikan oleh Ustazah Juliani dan Pengerusi Tetap MAT Ustazah Ramlah binti Sharif yang bertajuk “Muslimat Muda itu” dan “She’s Strange”.