Home Artikel PAS Perlis

Murid SRI At Taqwa Johan Hafazan MTQSS Kebangsaan 2019

801 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU: SRI At Taqwa, Beseri, melakar sejarah di persada kebangsaan apabila seorang pelajarnya telah dinobatkan sebagai johan dalam acara Hafazan Al-Quran, Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-sekolah (MTQSS) Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung selama empat hari berakhir pagi tadi.

Pada majlis yang berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Pauh Putra itu, Taqwa Fahima bt. Rezqa, murid tahun 5 institusi pendidikan di bawah kelolaan PAS Negeri Perlis itu muncul sebagai pemenang bagi Kategori Perempuan Rendah setelah berjaya memungut mata tertinggi iaitu sebanyak 97.5 peratus.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing milik peserta daripada Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur dan Pahang, masing-masing dengan catatan mata yang sama iaitu 97.0 peratus.

Anak kepada pasangan Dr. Rezqa Husin dan Dr. Intan Zakiah Jamaluddin itu membawa pulang piala pusingan, plak dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat ke majlis itu.

Beliau sebelum ini merupakan pemenang dalam acara yang sama pada MTQSS peringkat negeri yang telah berlangsung pada bulan April lalu yang melayakkannya mewakili negeri Perlis.

Kejayaan yang diraih beliau turut membuktikan kemampuan institusi pendidikan milik PAS dalam melahirkan modal-modal insan yang cemerlang serta berdaya saing.