Home Artikel PAS Pahang

Munajat punca kuasa utama kemenangan PAS

551
SHARE

INDERA MAHKOTA: Munajat tanpa henti adalah punca utama kemenangan cemerlang PAS di Kelantan pada PRU14 lalu yang sebenarnya berhadapan cabaran amat genting ketika itu berbanding PRU-PRU sebelumnya.

Malah, munajat juga membezakan perjuangan PAS daripada pihak-pihak lain di mana hal itu diakuikan sendiri oleh para pengundi dalam temubual untuk tujuan analisis dan post mortem PRU14 yang diadakan.

Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Husin yang mewakili DUN Kelantan mendedahkan perkara tersebut dalam program Motivasi Santai Jentera Pilihan Raya HALWA UDM Balok, di sini kelmarin.

Ahli PAS serunya, wajib belajar untuk membawa dasar Islam dan merealisasikan dalam gerak kerja sebagaimana dilaksanakan negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Kelantan dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’.

“Jadikan Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai negeri contoh dan role model serta bukti kemampuan PAS memimpin negeri, malah tidak mustahil PAS boleh memimpin negara,” ujarnya membangkitkan semangat anggota jentera.

Beliau menekankan betapa pentingnya ilmu pilihan raya sebagai persediaan mendepani cabaran PRU15 dan seterusnya bersiap sedia untuk mengisi kemenangan secara yang terancang, selain keperluan dana dan pemerkasaan organisasi.

Majlis yang turut memugar roh perjuangan menerusi alunan zikir Asma’ ul Husna pimpinan Ahli Jawatankuasa HALWA Balok, Solehah Mohd Shah ini dihadiri 70 ahli jentera dari enam PAS Cawangan di bawah UDM ini.

Mereka yang hadir dengan tema pakaian masing-masing ini mewakili PAS Cawangan Chengal Lempong, Taman Balok Jaya 2, Bandar Baru Balok, Balok Maju, Balok Pantai dan Balok Jaya Sejahtera.

Majlis berlangsung di kediaman Ketua PAS Chengal Lempong, Dr Syed Badarudin Syed Ali dan isterinya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Chengal Lempong, Sharifah Mardziah Syed Abdul Rahman di Baitul Mahabbah.

Ketua HALWA UDM Balok, Asma Abdullah juga selaku pengarah program turut menyampaikan ucapan menyeru kesiapsiagaan fizikal, mental dan jiwa raga ahlinya untuk memperkemaskan gerak kerja yang masih tertangguh.

Pada majlis ini juga diadakan sesi soal jawab antara hadirin dengan Ustazah Asmak meliputi pelbagai isu semasa dan juga tips bergerak kerja.

Penulis: Nik Halawati Nik Wajis
– HARAKAHDAILY 28/9/2020
https://harakahdaily.net/index.php/2020/09/28/munajat-punca-kuasa-utama-kemenangan-pas/