Home Berita PAS Pulau Pinang

Munajat AKIFI bina kekuatan muslimat berdepan situasi semasa

70
SHARE

Oleh: Ummu Al-Fateh

KEPALA BATAS, 22 OGOS – Program Gelombang AKIFI Dewan Muslimat PAS Malaysia bersama Muslimat PAS Pulau Pinang telah berlangsung pada 19 Ogos jam 9.00 malam secara zoom meeting.

Munajat AKIFI kali ini di bawah pimpinan Ketua DMPM Ustazah Nuridah Mohd Salleh bertujuan mendoakan Allah menyatukan umat, memberikan kemenangan menegakkan Islam dalam negara serta agar diangkat wabak covid 19.

Semasa sesi taujihat, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal Puan Norazlin Md Samsudin telah menghuraikan hadis mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.

“Nabi Muhammad SAW adalah contoh peribadi unggul yang bersifat gagah, kuat dan berani begitu juga keadaan para sahabat ketika mereka berdepan dengan musuh namun sebaliknya sesama muslim mereka bersikap penuh tawaduk.

“Cara untuk mendapat kekuatan berjuang hendaklah bermula dari niat yang ikhlas di samping membuang sifat lemah dan malas. Muslimat hendaklah berusaha menambahkan perkara yang mendatangkan kemahiran dan kekuatan pada diri,” tambah beliau.

Puan Norazlin telah menghuraikan enam unsur kekuatan yang perlu dimiliki oleh para muslimat iaitu kekuatan akidah, kekuatan akhlak, kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi, kekuatan kesatuan dan kekuatan jihad.

Beliau turut menyeru muslimat untuk membina kekuatan diri dan jamaah di semua peringkat kerana hanya dengan kekuatan muslimat yang unggul dapat menggerunkan musuh serta menyerlah keizzahan Islam agama yang memimpin dengan kebijaksanaan dan kesejahteraan.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri P.Pinang Ustazah Hasanah Idris mengingatkan muslimat untuk bersabar dengan segala ujian yang Allah kurniakan dan berpesan kepada mereka untuk bergantung harap hanya kepada Allah SWT Yang Maha Kuat.

“Dalam keadaan situasi sekarang ini, muslimat hendaklah kreatif memanfaatkan peluang dakwah dan berprogram melalui online. Sertailah program-program yang dianjurkan oleh jamaah untuk membina kekuatan Jentera 12K Ansarullah,” ujar Ustazah Hasnah mengakhiri ucapannya.

Turut hadir dalam program kali ini ialah beberapa orang AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia dan wakil-wakil AJK Wanita UMNO P. Pinang bermunajat untuk masa depan Malaysia yang sejahtera bersama kepimpinan melayu Islam.