Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
Muktamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu bermula 6 November ini merupakan muktamar PAS yang ke 67. Bermakna telah lebih enam dekad PAS meniti arus perjuangan untuk mengangkat dan mendaulatkan Islam dalam negara iaitu sejak sebelum Merdeka lagi.
Berdasarkan pengalaman dan sejarahnya selama ini terbukti misi perjuangan ini cukup mencabar, berliku-liku dan penuh dengan pelbagai bentuk dugaan besar ataupun kecil, namun susah atau senang, ahli-ahli dan para pendukung PAS sentiasa konsisten tidak pernah jemu dan berputus-asa menyemarakkan obor perjuangan sehingga memungkinkan PAS berada ditahap pencapaiannya pada hari ini, PAS kini sebahagian dari kerajaan Persekutuan dan menerajui kepimpinan di tiga buah negeri.
Mereka yang hadir dalam Muktamar samada kepimpinan tertinggi mahupun para perwakilan seharusnya insaf bahawa pencapaian kita pada hari ini bukanlah lantaran kehebatan atau kekuatan kita semata-mata tetapi sesungguhnya ia berkat doa dan perjuangan yang telah menggugurkan keringat dan airmata termasuklah darah dari para pejuang terdahulu yang sudah pasti ikhlas serta komited berjuang dengan haratbenda dan jiwa raga. Mereka tidak merasai apa yang kita rasai pada hari ini namun mereka berjuang atas keyakinan ganjaran buat mereka bukannya menunggu di dunia tetapi lebih bermakna lagi menunggu mereka di akhirat nanti. Begitulah kita juga sepatutnya.
Berbanding lebih enam dekad dahulu hari ini PAS berada dalam posisi yang cukup bertenaga lantaran itu PAS perlu terus bijak dalam mengatur dan menyusun strategi bagi menghadapi kerencaman masyarakat dalam waktu yang sama tidak sekali-kali mengendur atau menggadaikan prinsip yangf merupakan tunjang kekuatan kita zaman berzaman.
Strategi masakini menuntut PAS lebih ke hadapan mengemukakan alternatif dan opsyen kepada masyarakat untuk mencapai tahap negara yang makmur dan sejahtera berteraskan Islam. PAS bukan lagi pembangkang seperti di awal dekad perjuangannya tetapi kini sebahagian dari kerajaan.
Hari ini dengan pencapaian yang ada dan kematangan dalam pendekatannya PAS dilihat sebagai pendamai, PAS dilihat sentiasa terbuka meraikan kerjasama dan permuafakatan demi mengekalkan kestabilan politik yang melaluinya akan menjamin negara yang adil dan baik buat semua. Kerana itu PAS perlu terus melihat ke hadapan dan memimpin usaha kea rah permuafakatan dan penyatuan ummah ini.
PAS bukan lagi “passenger” atau penumpang tetapi pada kedudukan hari ini PAS sudah bertaraf “driver” atau pemandu yang tidak sewajarnya mengikat diri dengan sentimen atau kecenderungan pada mana-mana pihak sebaliknya PAS lah yang merintis laluan untuk memimpin pihak-pihak lain kearah nasib dan masadepan yang lebih baik dan terjamin buat semua.
Memain posisi pencetus gelombang ini menuntut saf kepimpinan yang dinamik dan sentiasa responsif terhadap tuntutan masyarakat. Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi pada PAS sebagai satu-satunya parti yang masih memiliki integriti dan tidak terpalit dengan sebarang salah-laku atau penyelewengan dana mahupun kepentingan awam yang hanya mendukacitakan masyarakat.
Sekarang dengan keberadaannya dalam kerajaan Persekutuan selain dominan dibeberapa buah negeri inilah masanya untuk kepimpinan PAS membuktikan Islam sebagai formula penyelesaian permasalahan ummah sebagaimana yang sering kita tarbiyahkan kepada ahli-ahli dan pendukung kita. Rakyat mengharapkan kualiti kepimpinan yang luarbiasa dari PAS mengatasi apa yang mampu dipamir dan dipersembahakan oleh pihak lain.
Penting di sini untuk para perwakilan memastikan yang parti hanya membariskan mereka yang punya kualiti dan kemampuan serta persediaan untuk menterjemahkan Islam dalam kepimpinan masing-masing demi memenuhi tuntutan rakyat serta tuntutan sebenar perjuangan kita. Tiada lagi ruang untuk pemans kerusi atau mereka yangs ekadar menjadi “pasu bunga” penghias tetapi tidak berperanan.
Ini bukan lagi masanya memenuh atau mengisi jawatan parti dengan menaikkan sesiapa sahaja tanpa usul-periksa dengan semata-mata bersangka baik. Hari ini PAS perlu buktikan yang kita hanya akan membariskan kepimpinan yang kompeten, berpengalaman dan mampu memimpin negara dengan kualiti kepimpinan Islam yang padu dan sejati.
Saf kepimpinan yang bertenaga inilah yang diharapkan akan mencetuskan gelombang membawa PAS meniti seterusnya arus perjuangan dengan lebih gagah dan perkasa. Ditahap melampaui enam dekad perjuangan ini kita tidak mampu lagi melangkah atau menoleh kebelakang lagi. Kerana itu para perwakilan PAS dalam Muktamar ke 67 ini yang merupakan muktamar pemilihan bertanggungjawab memastikan yang mereka akan tekun mengangkat hanya yang layak memenuhi ciri-ciri di atas untuk menerajui kepimpinan parti untuk tahun-tahun berikutnya.
Dewan Pemuda PAS Pusat telah menaikkan Ketua Pemuda baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga ahli Parlimen Pasir Mas untuk memimpin sayap Pemuda. Ustaz Fadhli telah membuktikan kemampuan beliau sepanjang menjadi ahli Parlimen dan diharapkan dapat membentuk kepimpinan Pemuda yang berkualiti untuk menyahut cabaran perjuangan parti. Dewan Muslimat Pusat pul;a telah mengekalan Ustaz Nuridah Mohd Salleh sebagai Ketua Dewan Muslimat Pusat. Ustaz Nuridah memiliki pengalaman yang cukup luas dalam menguruskan hal-ehwal Muslimat dan wanita. Kombinasi Pemuda dan Muslimat penting untuk memacu PAS bagi menempa kejayaan yang lebih besar selepas ini.
Adalah dijangkakan Presiden dan Timbalan Presiden PAS iaitu Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man juga akan kekal tanpa cabaran sebagai pemimpin nombor satu dan dua parti. Untuk memastikan mereka ini berupaya melayari arus perjuangan seterusnya yang pasti lebih mencabar maka para perwakilan memikul tugas memastikan kedua-dua pimpinan tertinggi parti ini dikelilingi oleh pasukan sokongan yang berkualiti dan tangkas.
Semoga Muktamar Tahunan PAS kali ke 67 ini berjalan dengan baik dan lancar demi memastikan Islam terus relevan dan memimpin masyarakat sehingga melimpah barakah dan kemapunan dari Allah SWT setiap masa.
Selamat bermuktamar.
4 November 2021 | 28 Rabiul Awal 1443H
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor