Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Muktamar DMPM Kekalkan Tema Penyatuan Ummah

162
SHARE

Oleh: Akif Danisya Ismail

SHAH ALAM, 18 Oktober – Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ini masih mengekalkan tema Penyatuan Ummah Menuju Kemenangan sebagaimana muktamar lepas.

Ini bagi memberikan pengukuhan dan tanda keseriusan Muslimat PAS terhadap agenda penyatuan ummah yang berteraskan Islam, demikian ucap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Terang beliau, agenda itu selari dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Ra’du ayat 19 hingga 22 di mana Allah SWT memberi panduan bahawasanya usaha gagasan penyatuan ummah adalah usaha menyempurnakan janji Allah sebagai khalifah di muka bumi.

“Tugas khalifah antaranya (ialah) memelihara semua perintah Allah sama ada melibatkan hak Allah atau hak manusia (termasuk) menjaga silaturrahim, rasa gerun akan hisab hari akhirat dan sabar menghadapi cabaran.

“Selain itu, seorang khalifah juga hendaklah menyempurnakan solat sebaik mungkin serta sentiasa berusaha mencari jalan menolak kejahatan dengan kebaikan,” kongsinya dalam ucapan Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Menyingkap sejarah perjuangan Rasulullah SAW, Ustazah Nuridah turut memberi bukti praktikal penglibatan kaum Muslimat di medan amar makruf nahi mungkar.

Dari kisah itu Dewan Muslimat PAS Malaysia terpanggil untuk menyatukan tenaga wanita muslim dalam negara ini.

“Dalam setiap siri muafakat yang dijalinkan oleh PAS, DMPM turut sama mendukung setiap keputusan dan bergerak seiring dalam siri permuafakatan bersama sayap wanita dan rakan kerjasama parti lain,” ulasnya lebih lanjut.

Tambah beliau, Dewan Muslimat PAS Malaysia akan terus komited dalam pembinaan kesatuan dengan memantapkan kefahaman secara berterusan khususnya di kalangan Muslimat PAS sendiri.

“DMPM mengadakan program berkala seluruh negara seperti Gelombang ‘AKIFI dan Munajat Hour agar keyakinan dengan pertolongan Allah makin mantap, istiqamah menghadapi tribulasi perjuangan tanpa gentar dan mundur,” kongsinya lagi.