Home Berita PAS Pahang

Mukhayyam Tarbawi PAS – Mata, telinga dan hati penting untuk PAS Teraju Pahang

206
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 17 Nov – Peserta Mukhayam Tarbawi Pahang 1.0 ditekankan pentingnya mata, telinga dan hati yang hadir sepenuhnya dalam apa juga program yang dihadiri oleh ahli PAS.

“Pentingnya penglihatan, pendengaran, dan hati untuk melahirkan kader yang berkualiti, berdisiplin, dan mempunyai wawasan yang jelas untuk PAS TERAJU PAHANG,”.

Begitulah antara ucapan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam ucapan penutup Program Mukhayyam Tarbawi Pahang 1.0 anjuran Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang bersama Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang di Balok di sini semalam.

“Tanpa kehadiran hati yang ikhlas, minda yang cerdas, tarbiyah tidak akan mampu memberi kesan sebenar kepada pembentukan peribadi muslim yang unggul untuk menyumbang kepada perjuangan parti secara berkesan.

“Kehadiran pancaindera ini menjadi asas dalam membentuk kefahaman mendalam terhadap ilmu, penghayatan terhadap nilai Islami, dan pengukuhan ukhuwah sesama ahli.

“Usaha ini bertujuan memastikan setiap ahli tidak sekadar hadir secara fizikal, tetapi benar-benar menghayati mesej perjuangan Islam untuk melahirkan ahli yang teguh jati diri, bersemangat dakwah, dan bersedia menghadapi cabaran semasa,” ujar beliau yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri Tanjung Lumpur.

Sementara itu Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Indera Mahkota Ustaz Nasruddin Hassan berkata, program ini memugar kekuatan dalaman ahli parti di semua peringkat sebagai persiapan asas menjana kemenangan terutama untuk memastikan PAS TERAJU PAHANG akan menjadi realiti.

“Kekuatan dalaman ini perlu dibina secara strategik selari dengan persiapan mendepani PRU akan datang, supaya PAS memiliki kekuatan dari semua aspek.

“Alhamdulillah penyertaan ahli dari seluruh Negeri Pahang sangat memberangsangkan, menepati sasaran dan sekaligus menunjukkan upaya PAS Pahang telah siap menerima mandat rakyat memimpin kepimpinan negeri,” ujar beliau lagi yang juga sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Program selama dua hari itu telah diisi dengan tiga slot iaitu pengajaran dari Surah Al-Hujurat oleh Timbalan Presiden PAS Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Wahdatul Fikr dan Wahdatul Amal Pra Syarat Kemenangan oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Zulkarnain Hassan, dan Tazkiyatun Nafs Pemangkin Perjuangan oleh Ahli Dewan Negeri Jertih Ustaz Riduan Mohamad Nor.