Home Berita PAS Pahang

Mufti Pahang rasmi Majlis Khatam Hafazan 30 Juzuk dan Graduasi SERITAB

163
SHARE

Oleh: HASLILAWATI ABDULLAH

KUALA KRAU, 28 Feb :: Mufti Negeri Pahang Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman bin Osman telah meraikan pelajar-pelajar tahfiz Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Banna (SERITAB) di Majlis Khatam Hafazan 30 Juzuk dan Graduasi SERITAB yang berlangsung di Dewan Indera Segara, UiTM Jengka, dekat sini kelmarin.

Seramai 8 orang murid terdiri daripada 4 lelaki dan 4 perempuan yang mengambil masa tidak sampai satu tahun setengah untuk menghafaz Al-Quran telah diraikan dalam majlis tersebut.

Di dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Mufti telah memetik sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang ingin kebaikan kepadanya maka hendaklah dia mempelajari agama maka dengan  mendalami ilmu  agama akan mengangkat darjat seseorang”.

Beliau seterusnya berkata, “Jika kita menyelusuri perjalanan Rasulullah SAW ketika mendirikan negara Islam pertama di Madinah, perkara besar pertama yang dilakukannya dahulu ialah membina masjid sebagai tempat beribadah dan menuntut ilmu.

“Di mana sahaja Rasulullah berada, baginda sentiasa mengajak semua manusia mengabdikan diri kepada Allah SAW sehingga mencapai sayang dan cinta kepada Allah dan Rasul.

“Kita kena letakkan matlamat tentang cinta Allah dan Rasul lebih utama supaya mereka dapat nampak jelas menghafaz Al-Quran adalah kerana Allah kerana kita tidak mahu pelajar tahfiz yang telah menghafaz Al-Quran terjebak dengan berbagai anasir seperti najis dadah dan sebagainya.

“Pelajar tahfiz juga perlu sentiasa diperingatkan bahawa mereka bukan sahaja mampu menghafaz bahkan mampu bertanggungjawab menyebarkan ilmu seperti para sahabat Rasulullah SAW yang menyebarkan ilmu ke negara-negara lain sehingga wafat,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut juga berlangsung acara menandatangani perjanjian persefahaman (LoI – Letter of Intent) diantara UiTM Jengka dengan Institut Tahfiz Turath al-Banna.

Pengerusi Institut Tahfiz Turath Al-Banna, Ustaz Aireroshairi Roslan melahirkan rasa terharu kerana institut tersebut diterima baik oleh semua pihak sehingga berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang hebat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang berharap agar kerjasama demi kerjasama dapat diteruskan lagi bagi menjayakan hasrat pihaknya untuk membina insan yang mampu menjadi pemimpin masyarakat setempat dengan ilmu al-Quran penuh di dada seperti tokoh-tokoh terdahulu.

Beliau turut berharap semoga masyarakat Malaysia mampu melahirkan lebih ramai ahli ilmuan dalam bidang agama dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.