Adun Tanjung Lumpur Ustaz Rosli Abdul Jabar yang bangun berucap dalam perbahasan Belanjawan Pahang 2020 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) ke 14 pada hari kedua (Selasa), menyentuh tentang Muafakat Nasional dan keperluan Buy Muslim First (BMF).
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyebut, Muafakat Nasional bukan sahaja dalam kerjasama politik tetapi juga sebagai pengimbang sistem dalam sistem pentadbiran negara, di atas prinsip ‘bertolong-tolong dalam perkara ketaqwaan kepada Allah’.
“Muafakat Nasional juga satu terjemahan bahawa gabungan ini bukan rasis, namun ia bersifat Qabul Al Akhyar (menerima sesiapa sahaja) termasuk yang bukan melayu dan bukan Islam.
“Mengenai BMF, ia bukannya satu bentuk boikot, tetapi ia adalah satu keseimbangan ekonomi antara umat Islam dan bangsa lain. Ianya juga berlaku kerana kesedaran sebagai seorang muslim yang terikat dengan perintah Allah, Rasul dan Islam itu sendiri supaya memilih yang halal dan jauhi perkara yang haram dan syubhah.
“Untuk itu, Pasaraya Darul Makmur (PDM) dilihat sebagai sebuah pasaraya yang dapat memenuhi altenatif dalam merealisasikan BMF. Diharapkan dapat berkembang seluruh negeri dan seterusnya mesti pertingkatkan prestasi,” ujarnya.
Berucap lanjut tentang PDM yang merupakan hak milik penuh Majlis Agama Islam Pahang (Maip), agensi yang memiliki beberapa cawangan di negeri itu mestilah terbuka dalam menerima teguran netizen terhadap kelemahan yang ada seperti kekurangan barangan, perkhidmatan yang tidak mesra pelanggan serta kekurangan produk muslim.
Ustaz Rosli sebelum itu memulakan ucapan dengan tazkirah ringkas, turut melahirkan ucapan terima kasih dan tahniah atas penbentangan bajet oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Ismail, yang dilihat menyeluruh dalam semua aspek.
“Tahniah juga atas bajet surplus sebagaimana yang dibentangkan,” ujarnya.
Wan Rosdy dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Isnin menganggarkan perolehan sebanyak RM4.13 juta. Ini berdasarkan jumlah kutipan hasil negeri sebanyak RM744.02 juta manakala perbelanjaan mengurus dijangka sebanyak RM739.89 juta.