Home Artikel PAS Perlis

MTD Kayang Anjur Tautan Muhibbah Muafakat Nasional

638
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Sebagai suatu usaha ke arah mengukuhkan lagi kerjasama antara PAS dan UMNO di peringkat akar umbi, Majlis Tindakan DUN (MTD) Kayang telah menganjurkan Tautan Muhibbah Muafakat Nasional bertempat di perkarangan Markas PAS Seriab, dekat sini semalam.

Program berbentuk pertandingan memancing itu diadakan dengan kerjasama sayap pemuda dan muslimat serta wanita kedua-dua parti di peringkat DUN berkenaan.

Turut sama menjayakan program berkenaan, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perlis serta Skuad Sabil UMNO Negeri Perlis.

Menurut pengarahnya Hj. Radzi Hasan, sambutan yang amat menggalakkan membuktikan kejayaan Muafakat Nasional dalam mengukuhkan perpaduan antara para penyokong PAS dan UMNO sehingga ke peringkat akar umbi.

“Setelah sekian lama berpecah, pada hari ini kita berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat melihat para penyokong daripada kedua-dua parti dapat duduk bersama dalam satu program dalam suasana penuh muhibbah, hasil daripada terbentuknya Muafakat Nasional,” katanya ketika ditemui di sini.

Hadir sama dalam program berkenaan, Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man selaku perasmi program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan dan Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan..

Hadiah kepada para pemenang pertandingan memancing disampaikan oleh Ustaz Muhammad Azmir.