Home Artikel PAS Wilayah

MPP Sub Zon 3 sumbang bantuan, teruskan agenda negara berkebajikan

325
SHARE

MPP Sub Zon 3 sumbang bantuan, teruskan agenda negara berkebajikan

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
28 Disember 2020

BATU : Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 3 Pekan Batu telah menjayakan Upacara Penyerahan Sumbangan Keperluan Asas dalam siri kedua Program YDP Singgah Bertandang kepada penduduk yang memerlukan di sekitar Pekan Batu, kelmarin.

Majlis tersebut telah dilaksanakan di Dewan Komuniti PPR Pekan Batu dengan garis piawaian yang telah ditetapkan mengikut norma baharu bagi mencegah penularan Covid-19.

Hadir bagi menyempurnakan upacara tersebut adalah Penasihat MPP Parlimen Batu merangkap Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi MPP Sub Zon 3 Pekan Batu, Hishamuddin Ghazali, Pemangku Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Pekan Batu, Sohori Miswan, Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Kok Lian, Aderlyn Chai dan Ketua Umno Cawangan PPR Pekan Batu, Sulaiman Burok.

“Dalam Bajet 2021 buat Wilayah Persekutuan, dana bagi sektor pembangunan fizikal telah diturunkan dan keutamaan telah diperuntukan bagi usaha-usaha menjaga kebajikan sosial rakyat dengan kenaikan sebanyak 20%,” ujar Ustaz Azhar semasa berucap dalam majlis tersebut.

Beliau yang juga merangkap Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam ucapannya turut memuji Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa yang selalu mengutamakan kebajikan rakyat di Wilayah Persekutuan.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai untuk turut sama prihatin terhadap penduduk sekitar dengan menyalurkan maklumat tentang mereka yang memerlukan kepada pihak MPP bagi dibantu,” kata beliau lagi.

Bantuan yang disalurkan dalam program tersebut berupa barang keperluan harian yang telah disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia dan Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu.