Home Artikel PAS Wilayah

MPP PAS Labuan sambut baik inisiatif JKM Labuan

366
SHARE

Oleh: Somad Abdullah

LABUAN, Rabu – Empat (4) orang wakil Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atas kapasiti Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) hadir ke Program Kempen Jom Daftar Pusat Jagaan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan di sini kelmarin.

Antara tujuan program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan seterusnya memastikan pematuhan Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta TASKA 1984 dan peraturan-peraturan berkaitan. Tambahan lagi, program ini juga bertujuan memberikan kesedaran kepada golongan pemimpin tempatan dan persatuan-persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pusat jagaan agar setiap pemimpin mempunyai ilmu dan pengetahuan berkaitan pusat jagaan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan merangkap Pengerusi MPP Subzon 4, Ust. Ahmad Junid bin Aling, Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi MPP Subzon 1, Hj. Abdul Rahim bin Mohd Salleh, Ketua Penerangan merangkap Setiausaha MPP Subzon 3, En. Jenno bin Jamil dan Timbalan Pengerusi MPP Zon Labuan, Hj. Hadnan bin Mohamad antara yang hadir ke program tersebut.

Hj. Hadnan mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha pihak JKM dalam menganjurkan program seumpama ini di peringkat Labuan.

“Saya merasakan program yang dianjurkan oleh pihak JKM amat tepat pada waktunya memandangkan pusat jagaan di peringkat Labuan masih lagi dalam bilangan yang sedikit. Inisiatif seumpama ini sangat baik bagi memberikan kesedaran kepada warga Labuan berkaitan tatacara penubuhan pusat jagaan mengikut undang-undang,” jelas beliau.

Ust Ahmad Junid juga menzahirkan rasa gembira kerana memperolehi ilmu pengetahuan yang baharu berkaitan pusat jagaan menerusi program yang telah dilaksanakan.

“Banyak ilmu pengetahuan baharu berkaitan dengan tatacara penubuhan sesebuah pusat jagaan terutamanya perkara-perkara yang melibatkan agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujar Ahmad.

Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan sijil penyertaan kepada semua peserta yang terlibat dalam menjayakan program tersebut dan sesi bergambar peserta bersama pihak JKM.