Home Berita PAS Sabah

MGP Sandakan berkunjung ke Rumah Amal Selawat Nabi

1919
SHARE

Oleh : Susilah Charles
18 Mei 2019

SANDAKAN: Majlis Guru PASTI (MGP) Sandakan berkunjung ke Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi (PPRASN) di Taman Sejati Ujana, di sini semalam yang merupakan anjuran Unit Tarbiyyah MGP Sandakan.

Dalam kunjungan itu, MGP Sandakan menyampaikan sumbangan kewangan kepada warden PPRASN, Fa’izah Mardhiah binti Abdul Haris, yang juga merupakan wakil pengurusan pertubuhan itu selain memberi sumbangan duit raya kepada anak – anak di situ.

“Seramai 30 orang penghuni rumah amal ini yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf yang berumur 3 hingga 6 tahun dan beberapa orang remaja serta 3 orang warden” Kata Fa’izah.

Tambahnya lagi, beliau sangat berterima kasih atas kunjungan mahabbah yang sangat memberi kesan kepada anak – anak di PPRASN ini.

Aktiviti mewarna juga turut dilaksanakan dalam kunjungan kali ini untuk menghiburkan anak – anak yang berada di situ selain persembahan yang menyayat hati daripada warga PPRASN.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu yang turut hadir dalam ziarah ini membacakan hadis Rasulullah SAW, “Aku dan penjaga anak yatim akan berada di dalam syurga yang berdekatan seperti dekatnya jari tengah dan jari telunjuk.”

“Kita seharusnya mewajibkan diri untuk berkongsi rezeki dengan kalangan fakir dan miskin, kerana kita dikurniakan rezeki oleh Allah disebabkan adanya kehadiran golongan yang kurang bernasib baik ini untuk dibantu.” Tambah Norsah.

Turut hadir dalam kunjungan ini adalah Penolong Kanan Kurikulum PASTI Kawasan Sandakan, Siti Sofiah Rafiei, Setiausaha MGP Sandakan, Muspah binti Mustain serta guru – guru PASTI Kawasan Sandakan.

Sekiranya ada pihak yang mahu hulurkan sumbangan, boleh salurkan ke nombor akaun 10043010017140 (Bank Islam) atas penama Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi.