Home Berita PAS Sabah

MGP PASTI Sandakan ziarah dan santuni warga tua

113
SHARE

Oleh: Aizal Samsaruddin
10 April 2023

SANDAKAN: Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Sandakan telah menziarahi dan menyantuni warga tua di Rumah Warga Tua Sri Harapan, Batu 5 Sandakan, kelmarin.

Program yang dikelolakan dibawah Unit Tarbiyyah dan Kebajikan MGP turut menyampaikan sumbangan berbentuk duit raya dan pek berbuka puasa kepada penghuni Rumah Warga Tua itu.

Ketua Majlis Guru PASTI Kawasan Sandakan, Rosdianah Djamali berkata, program seumpama ini sangat baik untuk mendidik rohani guru-guru.

“Guru-guru ini saya nampak rapat dengan anak-anak kecil, naluri dan rohani mereka sangat sensitif dan mudah tersentuh setelah melihat keadaan penghuni di Rumah Warga Tua itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi PASTI Kawasan Sandakan, Sukriadi Osman ketika dihubungi berkata, program-program seumpama ini dapat diteruskan oleh MGP bagi mengeratkan lagi hubungan sesama pihak pengurusan Rumah Warga Tua itu.

“Hubungan yang sudah dibina dengan pihak pengurusan warga tua dapat dieratkan lagi dengan program-program bersama penghuni Rumah Warga Tua,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan program sebegini dan penghargaan buat para penyumbang yang telah menyumbang sebahagian harta mereka.

Hadir sama Naqibah MGP PASTI, Rosmah Rahman.