Home Berita PAS Pusat

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua: Putuskan Supaya Negeri-Negeri Melayu Dinamakan Darul Islam

1176
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020

Entri 2

Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PAS KEDUA: PUTUSKAN SUPAYA NEGERI-NEGERI MELAYU DINAMAKAN DARUL ISLAM


MESYUARAT Agung Tahunan PAS Kali Kedua telah diadakan pada 26-27 Ogos 1953 di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah, Bagan Datoh, Perak dalam suasana politik yang agak tegang kerana PAS terlibat dalam dua badan politik yang menuntut pilihan raya segera iaitu National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar dan National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman Putra. Mesyuarat agung ini dirasmikan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz, Menteri Besar Perak. Dalam ucapannya, Menteri Besar Perak itu berharap PAS benar-benar berjuang untuk rakyat dan berjaya menegakkan syariat Islam di Malaya.

Mesyuarat agung yang dipengerusikan oleh Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad ini telah dihadiri oleh 24 orang perwakilan mewakili 12 cawangan PAS, di samping lapan orang Ahli Jawatankuass Kerja Agung PAS. Antara keputusan terpenting mesyuarat agung ini ialah mendesak PAS menetapkan pendiriannya melalui Mesyuarat Agung Khas PAS sama ada menyokong National Conference atau National Convention dalam tuntutan pilihan raya segera. Hasilnya, pada 26 September 1953, PAS mengadakan satu mesyuarat agung khas di Bukit Mertajam.

PAS turut meminda beberapa fasal Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1951 melibatkan pengemaskan stuktur organisasi dan menetapkan tujuan PAS secara jelas iaitu “Berikhtiar melaksanakan hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam di dalam kehidupan orang seorang (individu) dan masyarakat menuju kerrdhaan Ilahi.” PAS juga memutuskan secara rasmi bahawa akronim rasmi parti ini ialah PAS, menggantikan sebutan Persatuan Islam.

Dalam isu-isu politik semasa, mesyuarat agung ini telah meluluskan 14 usul lain melibatkan pendidikan Islam, penguatkuasaan undang-undang berkait arak, judi, pelacuran dan kemungkaran, pembangunan ekonomi orang Melayu, pilihan raya Persekutuan, perpaduan politik orang Melayu dan penganjuran Muktamar Islam. Salah satu ketetapan yang penting ialah mendesak supaya semua negeri Melayu dinamakan dengan “Darul Islam” oleh sultan masing-masing.

Dalam mesyuarat agung kali ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan terpilih semula sebagai Yang Dipertua Agung PAS bagi sesi 1953-1954. Tokoh lain yang dipilih ialah Dr Haji Abbas Alias (Timbalan Yang Dipertua Agung), Mohd Asri Haji Muda (Setiausaha Kewangan) dan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein (Bendahari), manakala Ustaz Haji Zabidi Ali, Ustaz Ahmad Long, Ustaz Mohd Nor Mahyuddin, Haji Mansor Hassan, Ustaz Haji Ahmad Maliki, Mohamad Hanif, Ustaz Haji Ahmad Badawi dan Haji Othman Taat telah terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung. Pemilihan mereka telah mengukuhkan kedudukan PAS dalam arena politik tanah air.

Sebenarnya, sebelum Mesyuarat Agung PAS Kedua ini, PAS telah mengadakan Kongres Pemuda Islam di tempat yang sama pada 25 Ogos 1953 yang berjaya menubuhkan Dewan Pemuda PAS Pusat. Ustaz Othman Abdullah dari Perak telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda Pusat yang pertama. Penubuhan ini menjadikan Dewan Pemuda PAS sebagai sayap pertama PAS yang berjaya ditubuhkan, setelah cadangan penubuhannya diluluskan oleh Mesyurat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953.

Pada umumnya, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua ini telah menetapkan dua perkara penting iaitu meletakkan usaha menubuhkan negara Islam sebagai matlamat utama PAS dan mendesakan negeri-negeri Melayu dinamakan sebagai Darul Islam. Kedua-dua usul yang diputuskan ini telah meletakkan PAS pada satu garisan yang terbuka dalam perjuangan menegakkan negara Islam.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
6 Rabiul Awal 1441
2 Januari 2020