Home Berita PAS Sabah

Bicara Santai Ambang 2020 bersama Presiden PAS pikat kehadiran masyarakat tempatan

793
SHARE

Oleh: Fadilah Nordin
02 JANUARI 2020

SEPANGGAR : Program Bicara Santai Di Ambang Tahun Baharu Bersama Presiden PAS yang berlangsung pada 31 Disember lalu telah menarik penyertaan ratusan anak muda dan masyarakat sekitar Kota Kinabalu.

Bicara santai yang diadakan di Perkarangan SRI Al-Hafiz, Bandar Sierra dekat sini itu telah dianjurkan oleh PAS Negeri Sabah yang menampilkan pelbagai pengisian menarik.

Masyarakat negeri ini yang hadir dalam program tersebut berpeluang bersua muka dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang disamping mendengar ucapan nasihat dan pesanan daripada Ahli Parlimen Marang ini.

Antaranya, Tuan Guru mengingatkan agar dakwah di Sabah dalam kalangan masyarakat majmuk ialah dengan menunjukkan akhlak yang baik disamping menjaga amalan dan silaturrahim sesama kaum.

Beliau turut mengulang pesanan dalam surah Al-Asr agar umat Islam di Sabah sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Katanya, berpesan dengan kebenaran amat mencabar dan banyak dugaannya, oleh itu perlunya manusia bersama dengan jemaah yang menjadikan Islam sebagai tujuan juga memenuhi ciri-ciri risalah yang Nabi SAW bawa.

Selain itu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan Qasidah, persembahan sajak daripada pelajar PASTI Sepanggar dan persembahan busking dari kumpulan anak muda.

Hadir sama dalam aktiviti ini ialah Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu dan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.