Home Berita PAS Perlis

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kangar Fokus Gerak Kerja PRU14

1293
SHARE

Oleh : Asrul Aimran Abdul Jalil

KANGAR : PAS Kawasan Kangar telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-43 pada 24 Mac 2018, bertempat di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS).

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, mesyuarat agung kali ini sedikit unik apabila dirasmikan sendiri oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh.

Seramai 250 orang perwakilan, hadir pada mesyuarat agung kali ini.

Turut hadir selaku tetamu jemputan, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli.

Ustazah Nuridah Salleh dalam ucapannya menyentuh beberapa perkara penting yang terkandung dalam Amanat Presiden PAS, antaranya persiapan jentera pilihan raya serta beberapa perkara penting dalam Perlembagaan PAS untuk makluman serta tindakan daripada semua perwakilan.

Turut disentuh, aspek kewaspadaan dalam kalangan ahli dalam menerima serta menyebarkan sebarang isu atau maklumat di samping kewajipan memanfaatkan media-media rasmi parti.

Mesyuarat agung kali ini menyaksikan beberapa anugerah telah disampaikan kepada para penerima yang telah dipilih oleh pihak panitia.

Antaranya Anugerah Guru Cemerlang PASTI Kangar, Anugerah KPI Terbaik PASTI Kangar, Anugerah MTD Terbaik serta Anugerah Jasamu Dikenang.

Sesi perbahasan pula menyaksikan para perwakilan berbahas dengan penuh semangat, menandakan kesediaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.