Home Berita PAS Wilayah

Mesyuarat Agung Medan Penyatuan Amilin PAS

845
SHARE

TITIWANGSA, 5 Mac- Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali ke 30 yang dilangsungkan dengan jayanya di Darul Ummah, Kg. Pandan di sini semalam.

MAT yang diadakan saban tahun ini merupakan sebuah medan muhasabah gerak kerja amilin dan qiyadi, di samping memurnikan ukhuwwah sesama teman seperjuangan.

Mesyuarat Agung Tahunan ini telah dihadiri oleh YDP PAS Titiwangsa, Tn. Hj. Khairul Anuar Abd Manaf, TYDP PAS Titiwangsa, Tn. Hj. Yaakob Omar, PSU PAS Titiwangsa Azmer Syazwan Suparmin, Ketua Urusan Ulamak PAS Titiwangsa, Ustaz Suridzal Abd Rahim serta 70 orang perwakilan dan pemerhati Muslimat PAS Titiwangsa.

MAT kali ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Pn. Noraini Hussin.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh berkenaan persiapan Muslimat bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14.

“Pilihan Raya kali ini paling mencabar kerana PAS akan berhadapan dengan musuh yang bersekutu, selain berhadapan dengan musuh tradisi PAS iaitu Barisan Nasional.

Oleh itu, Muslimat PAS tidak boleh lagi memberi alasan kepada perjuangan supaya kita boleh jadi golongan yang mendapat kemenagan”, ujar Pn. Noraini.

Pn. Noraini turut menyelitkan ibrah perang Ahzab untuk meniupkan semangat juang para Muslimat serta mengakhiri ucapan dengan surah Ali Imran ayat 160.

Tn. Hj Khairul Anuar juga turut menyeru seluruh Muslimat PAS Titiwangsa supaya bersiap siaga menggalas amanah Jamaah bagi mendepani cabaran dari semasa ke semasa.

Mesyuarat Agung Tahunan turut diserikan dengan sumbangan mock cheque dari Dewan Muslimat sebanyak RM 10,000 kepada Jabatan Pilihan Raya Kawasan dan bacaan ikrar Fastaqim.

Sepanjang mesyuarat berlangsung, perwakilan dan pemerhati yang hadir acapkali dibangkitkan dengan kata-kata semangat daripada para pimpinan Dewan Muslimat.

Pn. Sharifah Rashida Sayed Idrus selaku Ketua DMPK Titiwangsa melahirkan rasa terharu meyaksikan ramai Muslimat berpartisipasi dalam mesyuarat agung, terutamanya daripada kalangan Muslimat Muda.

Mesyuarat Agung Tahunan DMPKT berakhir dalam suasana penuh muhasabah serta semangat baru yang berkobar-kobar dalam jiwa para perwakilan dan pemerhati.