Home Berita PAS Pahang

Menziarahi mangsa banjir agenda wajib ADN Chenor

302
SHARE

OLEH: IBNU ABDILLAH

CHENOR, 19 Dis. :: Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah mengadakan lawatan melihat situasi beberapa rumah yang telah dinaiki air, di sini hari ini.

Keadaan hujan berterusan sejak tiga hari lalu , melahirkan kebimbangan  penduduk seperti di Kg Bukit Lada berikutan paras anak sungai Jengka yang berhampiran naik dengan mendadak.

Ustaz Mujibur Rahman turut meninjau persediaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kg Bukit Lada bagi memastikan siap sedia menerima mangsa banjir sekiranya berlaku pemindahan dalam masa terdekat.

Lawatan itu juga turut disertai oleh Penghulu Mukim Bukit Segumpal, Shaharil Afindi Ahmad dan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika melawat dua buah rumah di Kg Kabut yang dinaiki air dan alami banjir kilat serta lumpur itu, didapati punca nya akibat aliran air hujan yang tidak lancar kesan daripada pembinaan laluan ECRL berhampiran rumah mereka.

ADN Chenor itu juga turut melawat Taman Awah Permai yang mengalami banjir kilat petang semalam akibat limpahan air anak sungai yang berhampiran.

“Saya akan ulangi gesaan supaya pihak JPS menyelesaikan segera masalah limpahan air anak sungai yang telah lama dialami sebahagian penduduk taman ini, insyaallah,” ujar beliau.

Sementara itu, ketika meninjau paras air Sungai Pahang di Chenor beliau mendapati keadaan air mula memasuki kawasan rendah. Beliau mengingatkan penduduk sekitar tebing sungai sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berwajib dari semasa ke semasa.