Home Minda Presiden

Mentadbir Negara Masyarakat Majmuk

389 views
SHARE


Minda Presiden PAS
MENTADBIR NEGARA MASYARAKAT MAJMUK 


Pelbagai kumpulan dan parti memberi pandangan berbeza adalah kebiasaan dalam semua perkara, khusus dalam aspek politik kenegaraan. Islam mempunyai panduan tersendiri berpandukan Al-Quran yang telah berjaya mentadbir dunia, walaupun dilupakan kejayaannya kerana telah berlalu beberapa abad dan dipadamkan pula oleh zaman penjajahan.

Masyarakat majmuk tetap diterima sebagai satu kenyataan oleh semua ideologi dan teori, namun kebiasaannya tidak konsisten dalam pelaksanaan, khususnya apabila tidak ada kesaksamaan. Semua pihak mahu memimpin, tetapi cakapnya tidak serupa bikin, kerana tiada akidah dan iman yang mengawal perasaan.

Manusia yang bersifat hidup, berfikir dan berperasaan, mempunyai jasad dengan segala keperluan, berakal bijak, berilmu pengetahuan dan bernafsu, tidak mungkin disatukan dalam masyarakat berbilang agama dan bangsa dengan hanya memberi penekanan kepada aspek materialistik sahaja, seperti pendekatan menghapuskan jurang ekonomi dengan kawalan undang-undang dalam konsep kebebasan kehidupan individu yang menjadi perjuangan golongan liberal kapitalisme.

Begitu juga tindakan golongan sosialis dan komunis yang dikatakan berkonsepkan kemasyarakatan sehingga tegas ke peringkat diktator, kononnya bagi menegakkan keadilan masyarakat melalui ekonomi.

Firman Allah:

۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ٢٧

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi melihat dengan nyata”. (Surah As-Syura: 27)

Rasulullah S.A.W. bersabda:

لو كان لابن آدم واديان من مال لابتغى ثالثا ولا يملأ جوف ابن آدم إلا التراب ويتوب الله على من تاب. (متفق عليه)

Kalau sekiranya manusia itu telah ada baginya dua lembah yang penuh emas, nescaya dia mahu yang ketiga, dan tiada yang dapat memenuhkan dirinya sehingga puas melainkan tanah (ditimbus dengan tanah), namun Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Maka Islam membawa konsep adil terhadap semua secara mutlak berlandaskan akidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berkonsepkan takwa yang menentukan nilai dan martabat manusia di sisi Allah dengan melaksanakan Islam secara menyeluruh, bukan sekadar agihan ekonomi sahaja.

Kita menyaksikan penganut Islam yang berpegang dengan agama memimpin negara walaupun tidak menyeluruh amalan Islam, adalah lebih baik daripada bukan Islam daripada semua ideologi yang tidak saksama terhadap masyarakat majmuk.

Maka para ulama’ Islam yang menulis berkenaan kenegaraan dalam semua mazhab mensyaratkan Islam adalah perkara pertama dalam pemerintahan negara, kerana asas pelaksanaannya wajib beriman dengan akidah negara.

Begitulah juga semua ideologi lain meletakkan pendukung dan anggota parti yang mentadbir negara mesti mengikut ideologi mereka sahaja.

Islam juga mensyaratkan ‘adalah atau adil (integriti dengan sempurna jasad, akal dan roh) dengan ungkapan yang mempunyai sahsiah Islamiyah yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia. Bukannya Islam celupan nama sahaja tanpa ciri-ciri sahsiah yang berjati diri mengikut firman Allah:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. (Surah Al-Hajj: 41)

Melaksanakan konsep kepercayaan kepada agama yang ada hubungan dengan Allah (solat)  dan hubungan dengan manusia, melaksanakan ekonomi yang adil (zakat), berkebajikan (amar makruf) dan kehebatan undang-undang (nahi mungkar), serta berwawasan jauh daripada dunia sehingga Akhirat (akibat balasan Allah), adalah petunjuk kepada jati diri umat Islam yang bukan pada namanya sahaja, tetapi menunaikan amanah khususnya dalam perkara amar makruf dan nahi mungkar yang menjadi tonggak kepada negara, kerana sabda Rasulullah S.A.W.:

لتأمرن بالمعروف وتنهون عن المنكر أو ليسلطن الله عليكم شراركم ثم يدعو خياركم فلا يستجاب لهم. (رواه أحمد)

“Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran, atau Allah jadikan orang-orang yang jahat menguasai kamu, kemudian doa orang yang baik tidak diperkenankan”. (Riwayat Ahmad)

Ada daripada kalangan ulama’ yang menamakan golongan yang tidak meunaikan amanah melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagai syaitan bisu.

Konsep tersebut hanya ada pada Islam yang mendaulatkan sistem berlandaskan akidah yang menguasai akal, budi dan hati nurani manusia, sehingga mampu menegakkan keadilan untuk semua, merealisasikan Rahmatan Lil ‘Aalamin yang sebenarnya, penyayang terhadap golongan yang patut disayangi, bertindak tegas terhadap golongan yang melampaui batas yang tidak patut disimpatikan kerana kesalahannya yang merosakkan apabila berlaku pertembungan di antara benar dan salah serta bersikap tegas dalam perkara berbeza yang berlawanan yang tidak mungkin disamakan sesekali (usul atau thawabit).

Amat malang apabila slogan rahmat lebih cenderung kepada perkara yang salah dan sesat, sehingga perkara yang benar menjadi mangsa kerana pendekatan rahmat yang salah.

Beginilah jadinya kepada kerajaan yang liberal terhadap agama, politik dan ekonomi, sama ada kapitalis, sosialis atau pragmatis yang bermatlamatkan kebendaan dan jawatan semata-mata, menjadikan urusannya makin tersungkur jatuh ke hadapan, bukan maju jaya, sehingga merungkai kehebatan undang-undang.

Berlaku juga kuasa politik yang tidak konsisten dan sejajar terhadap semua kaum dalam masyarakat majmuk, apabila kerajaan tidak bergantung dengan parti yang paling kuat dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat majmuk.

Kini kita sedang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan, hanya satu parti sahaja yang ahlinya berteraskan umat Islam yang mewakili kaum terbesar dalam demografi penduduk masyarakat majmuk, iaitu Parti Bersatu, di mana partinya tidak besar dalam kerajaan.

Adapun parti-parti lain berkonsepkan pragmatik liberal, kapitalis dan sosialis, sehingga menjadikan kerajaannya cacamarba walaupun dalam satu kapal, tetapi penumpangnya menuju ke destinasi yang berbeza hala tuju dan ada yang hanya makan angin tanpa hala tuju.

Walaupun ada yang hala tujunya ikhlas, tetapi sukar bagi nakhoda memandu kapal, apabila penumpang mendesak supaya dibawa ke arah destinasi masing-masing.

Maka kita tidak hairan banyaknya suara yang mahu supaya nakhoda berundur satu demi satu. Percayalah hala tujunya berpusing-pusing dan hanya bersiar di tengah lautan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam perjalanan asalkan kapal tidak tenggelam, kalau tidak ada yang nakal menebuk kapal.

Semua wakil rakyat adalah dipilih oleh rakyat dan sebenarnya mewakili rakyat masing-masing dalam masyarakat majmuk, sepatutnya wajib melakukan muhasabah diri demi kepentingan rakyat dan negara secara umum, bukannya kepentingan kaum kecil atau peribadi yang mempunyai agenda tersendiri tanpa memikirkan kemajmukan masyarakat.

Kepada yang beragama Islam, kembalilah kepada perpaduan umat Islam bagi menegakkan akidah kepercayaan.

Kepada yang bukan Islam, tolaklah golongan yang bersikap melampau dan tidak sedar diri di mana bumi tempat dirinya berpijak, bukan kepada asal usul dari mana dia datang.

“Islam Memimpin Perpaduan”

 ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 17 Safar 1441 / 17 Oktober 2019