Home Artikel PAS Perak

Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan | YB Akmal Haji Kamarudin

184
SHARE
Image may contain: 1 person, standing, text that says "MALAYSIA PRIHATIN Selamat PERAK Hari Kebangsaan ke-63 YB. USTAZ MOHD AKMAL BIN HAJI KAMARUDIN Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan Kerajaan Negeri Perak"MENSYUKURI NIKMAT KEMERDEKAAN
Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia Prihatin.
1. Alhamdullillah, puji dan syukur kepada Allah SWT atas segala kurniaanNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat dan para pengikut jejak langkahnya hingga ke hari perhitungan.
2. Tanggal 31 Ogos setiap tahun, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengingati tarikh yang keramat ini. Ia sentiasa diraikan di seluruh negara. Perkara ini sebagai tanda menzahirkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara ini sejak 1957.
3. Marilah sama-sama kita melafazkan ucapan syukur yang diajar Rasulullah SAW sempena menyambut kemerdekaan ini dengan
الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات
“Segala puji bagi Allah SWT, dengan nikmatnya sempurnalah segala kebaikan”
Sebagai pedoman kita semua, kami ingin mengajak semua rakyat di Negeri Perak menghayati erti “Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan”.
Semoga ini menjadikan kita memahami erti kemerdekaan negara dan sanggup mempertahankannya. Agar kenikmatan hidup aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat sentiasa subur.
Tuan tuan, Puan puan
4. Kemenangan menuntut kemerdekaan turut melibatkan kegigihan tuan guru, tok imam, ahli masjid, ulama dan pendokongnya serta para parajurit. Antaranya adalah Haji Mat Hassan yang dikenali dengan Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Abu Bakar Al Baqir, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Tok Kenali.
5. Kemanisan gandingan negarawan dan agamawan dalam memerdekakan negara ini sangat dirasai oleh seluruh rakyat di Tanah Melayu waktu itu. Ulama’ dan umara’ disifatkan secara bersama sebagai faktor kebaikan ummah.
6. Para ulama tidak jemu untuk menyeru kepada kemerdekaan yang hakiki. Antaranya, satu ungkapan yang menggambarkan kemerdekaan jiwa serta kebebasan menurut Islam yang diungkapkan oleh seorang panglima Islam bernama Rub’ai bin ‘Amir. Ketika ditanyakan tujuan kehadirannya ke bumi Parsi oleh panglima tentera Parsi bernama Rustum, beliau menyatakan
“Allah SWT telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan yakni memerdekakan manusia daripada pengabdian sesama manusia, kepada pengabdian hanya kepada Allah semata-mata, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.
Tuan tuan, Puan puan,
7. Mensyukuri nikmat kemerdekaan boleh diterjemahkan melalui beberapa cara
a) Meneladani sejarah perjuangan para pejuang terdahulu.
b) Membebaskan diri daripada serangan pemikiran musuh Islam.
c) Membebaskan diri daripada akhlak yang buruk dan hina.
d) Membebaskan diri daripada akal yang terbelenggu dengan kemabukan. Sama ada disebabkan oleh arak, ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk.
e) Membebaskan diri daripada ideologi-ideologi yang menyimpang, kemalasan, kealpaan, kelalaian dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
f) Membebaskan diri daripada perpecahan, pergaduhan, permusuhan, serta peperangan saudara.
g) Menjauhkan diri daripada bersikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia.
8. Justeru, Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia, hasil daripada kemerdekaan ini.
Tuan tuan, Puan puan,
9. Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al Maghfur lah pernah bertitah,
“Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara merdeka ini, adalah tanggungjawab setiap warga, demi menjamin negara ini kekal aman, rukun, makmur dan sejahtera,”
10. Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajipan kita bersama, sebagai rakyat jelata. Contohnya, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW ada menyebut
“Semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah”
11. Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang. Ia perlu ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara amat menghargai tanah tumpah darahnya.
Seterusnya akan berputiklah perasaan setia kepada negara. Ia juga melahirkan perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan tanah air kita.
12. Alhamdulillah, hari ini kita boleh hadir ke masjid dan surau tanpa halangan. Anak anak kita boleh ke sekolah dengan tenang. Kita boleh keluar mencari rezeki. Kita boleh bertegur sapa dengan kejiranan. Kanak-kanak dapat bemain di padang permainan dengan seronok.
Kesemuanya dengan aman dan sejahtera hasil nikmat kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Masih ada di kalangan kita barisan parajurit yang masih hidup. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka. Ingatlah perit jerih perjuangan nenek moyang kita terdahulu. Semoga Allah merahmati mereka dan menghimpunkan mereka bersama para salihin.
13. Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan kali ke 63 buat seluruh rakyat Negeri Perak. Semoga Allah melimpahkan kurniaan kepada kita, kebahagiaan hidup, kemurahan rezeki, kesihatan yang baik, segala kebaikan dan keamanan yang berpanjangan.
Amin.
14. Akhir sekali, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini bertemakan “Malaysia Prihatin”. Marilah kita menyemarakkan tema ini di segenap segi kehidupan kita. Bukan sahaja dalam usaha menamatkan wabak Covid-19, tetapi juga usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik. Tema Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan, untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Wabillahitaufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Oleh:
YB Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak