Home Berita PAS Terengganu

Mengurus generasi muda jadi cabaran bangunkan negara

20
SHARE

KEMAMANr – Mengurus generasi muda hari ini menjadi cabaran bagi memastikan negara terus meniti kemajuan di masa hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memberi tumpuan serta perhatian kepada golongan terbabit agar terpandu ke arah yang baik, memahami erti kemerdekaan sebenar dan tidak dipengaruhi anasir serta fahaman buruk.

Ujarnya, masalah serta dilema yang dihadapi dalam menguruskan generasi muda hari ini tidak hanya berlaku dalam negara bahkan ia juga terjadi kepada negara maju yang lain seperti Eropah, Korea dan Jepun.

“Saya pernah bercakap dengan para pimpinan masyarakat dari Korea, Jepun dan Eropah mereka bertanya bagaimana kita di Malaysia ini mengurus kalangan generasi baharu yang ada dalam negara kita.

“Saya tanya kepada mereka kenapa persoalan mengenai ‘young generation’ yang dikemukakan?Mereka kata bahawa generasi muda hari ini tidak sama seperti dahulu dari sudut ketahanan jiwa, mental serta tafsiran kebebasan minda yang berbeza di mana generasi hari ini mahukan sebebas-bebasnya.

“Sehingga mereka tidak mengerti tentang sejarah negara dan tidak ambil tahu tentang tatasusila,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penjawat Awam Daerah Kemaman, di Arena Square Chukai, di sini hari ini sempena Kembara Terengganu Sejahtera Kempen Kibar Jalur Gemilang, di sini, kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri turut melontarkan persoalan untuk difikir serta direnungi bersama bagaimana nasib anak bangsa dengan cabaran yang akan bertambah hebat pada masa akan datang.

“Sesuatu yang saya minta kita sama-sama fikir ialah kita kena sedar dengan apa yang sedang kita hadapi depan mata kita pada ketika ini memerlukan suatu cara dan kaedah untuk kita menanganinya.

“Supaya generasi yang kita tinggalkan nanti mampu berhadapan dengan cabaran untuk mengangkat negeri dan negara jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang dan menjadi unggul di mata dunia,” ujarnya.