Home Minda Presiden

Mengapa kalah lawan rasuah

227
SHARE

Minda Presiden PAS
MENGAPA KALAH LAWAN RASUAH


Pada hari ini, kita menyaksikan sendiri bagaimana undang-undang ciptaan manusia yang cuba melawan rasuah sehingga ke akar umbinya sudah menemui kegagalan? Sekalipun hukuman yang ditetapkan itu ialah hukuman yang paling keras di sesetengah negara sehinggakan dijatuhkan hukuman mati, namun penyakit rasuah masih gagal dihapuskan.

Hal ini adalah disebabkan sifat undang-undang dan pendidikan pencegahannya yang tidak menyeluruh dan holistik. Bahkan, undang-undang tersebut tidak merangkumi segala aspek kejadian manusia dan matlamat mereka diciptakan, sehingga menyebabkan penyakit rasuah gagal diatasi sama sekali.

Berlakunya kerakusan nafsu manusia terhadap harta, sehinggakan keadaan  itu mengatasi soal kepentingan nyawa, diri, dan keluarga mereka sendiri. Menyentuh tentang hal ini, Rasulullah SAW bersabda:

‌وَلَوْ ‌أَنَّ ‌لِابْنِ ‌آدَمَ ‌وَادِيًا ‌مِنْ ‌ذَهَبٍ ‌أَحَبَّ ‌أَنْ ‌يَكُونَ ‌لَهُ ‌وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ.

“Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu telah memiliki satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan (jumlah tersebut) tidaklah memenuhi mulutnya (menghilangkan nafsu mahukan harta), melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (mati dan dikuburkan dalam tanah). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Bukhari 6439 dan Muslim 1048)

Al-Quran memberikan petunjuk yang sempurna kepada manusia dalam segala aspek kehidupan, termasuklah petunjuk untuk melawan nafsu terhadap harta seperti perbuatan rasuah. Al-Quran menyatakan betapa keji dan buruknya rasuah, sehinggakan perbuatan itu disenaraikan dalam dosa-dosa besar yang diberikan amaran keras oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh firman-Nya:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ١٨٨

“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan (janganlah) pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada hakim-hakim (pemerintah berkuasa) kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” (Surah al-Baqarah: 188)

Islam menetapkan petunjuk yang benar dan sempurna daripada Allah SWT kepada manusia dalam semua urusan, termasuk dalam aspek pencarian harta dan bagaimana ia dibelanjakan.

Seseorang itu diwajibkan mengambil harta dengan cara yang baik dan halal. Di samping itu, cara penggunaannya pula memberikan manfaat dan membawa berkat (kebaikan) yang menyeluruh kepada jasad, roh dan akal, individu, keluarga, masyarakat dan negara, berwawasan dunia sehingga akhirat.

Pengambilan harta dan penggunaan harta secara haram akan merosakkan diri sendiri dan keluarga, malah juga kerajaan dan rakyat. Walaupun hasil rasuah itu menggemukkan badan dan memberikan keseronokan kepada jasadnya akibat terlalu bergembira kerana banyak duitnya, tetapi semua itu tidak bermanfaat dalam kehidupan dunia sehingga selepas meninggal dunia.

Soal harta ini sangat berkait daripada asal cara pengambilannya, sehinggalah cara penggunaannya yang diizinkan oleh Allah SWT mengikut sempadan yang telah ditetapkan-Nya. Sempadan Allah itu dinamakan halal dan haram.

Sabda Rasulullah SAW:

‌أَيُّهَا ‌النَّاسُ، ‌إِنَّ ‌اللهَ ‌طَيِّبٌ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌إِلَّا ‌طَيِّبًا، ‌وَإِنَّ ‌اللهَ ‌أَمَرَ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌بِمَا ‌أَمَرَ ‌بِهِ ‌الْمُرْسَلِينَ.

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Allah itu Maha Baik, Dia tidak menerima sesuatu melainkan apa-apa yang baik sahaja; dan sesungguhnya Allah memerintahkan (berbuat perkara yang baik) ke atas orang-orang yang beriman, sebagaimana Dia memerintahkan (perkara yang sama) ke atas para rasul.”

فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51]

Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُواْ مِنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَٱعۡمَلُواْ صَٰلِحًاۖ إِنِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٞ٥١

“Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal, dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kalian kerjakan.” (Surah al-Mu’minun: 51)

وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172]

Dan Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ…١٧٢

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kalian…” (Surah al-Baqarah: 172)

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

“Kemudian, Baginda menyebutkan ada seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh dalam keadaan kusut masai dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua-dua tangannya ke langit, seraya berkata: ‘Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!’ Sedangkan (doanya ditolak kerana) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan sejak kecil lagi dengan sumber makanan yang haram. Maka, (jika begitu keadaannya) bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan (oleh Allah).” (Riwayat Muslim 1015)

Termasuk salah satu daripada perkara yang paling diharamkan itu ialah rasuah. Perkara ini disebutkan melalui sabda Rasulullah SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌الرَّاشِي ‌وَالْمُرْتَشِي.

“Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah.” (Riwayat Abu Dawud 3580, al-Tirmizi 1337 dan Ibn Majah 2313)

Sesungguhnya, melaknat itu bererti mendoakan kecelakaan. Dan tiada kebaikan bagi sesiapa yang terlibat dengan rasuah dan juga kerajaan yang berpenyakit rasuah.

Islam menegaskan pengharaman rasuah sama ada terhadap pemberi mahupun penerima. Kedua-duanya tetap haram dan berdosa. Perbuatan tersebut bukan sahaja salah dari segi undang-undang di dunia, bahkan akan dibicarakan pada Hari Akhirat sekiranya terlepas atau terbolos daripada mahkamah dunia dan undang-undangnya.

Islam menetapkan bahawa kesalahan rasuah itu bukan sahaja dari segi undang-undang yang zahir, bahkan termasuk dalam perhitungan dosa yang akan dihukum selepas mereka meninggal dunia. Sebaliknya, dijanjikan ganjaran pahala kepada sesiapa yang tidak menerima rasuah yang ditawarkan.

Walaupun mereka yang terlibat dengan rasuah itu terlepas daripada undang-undang dunia, namun jika telah dihukum mengikut undang-undang dunia maka dirinya terlepas daripada dosa di akhirat. Pilihan yang lain individu tersebut hendaklah bertaubat dan menebus ganti harta rasuah itu setelah meninggalkan amal yang jahat itu dan bertaubat dengan ikhlas. Taubatnya tidak akan sah jika berterusan melakukan dosa itu dalam keadaan terus tidak meninggalkannya.

Kesalahan rasuah itu melibatkan kedua-dua belah pihak, bukan sahaja oleh penerima rasuah termasuklah juga pemberi rasuah. Kadang-kadang, tindakan undang-undang manusia hanya dikenakan terhadap penerima rasuah sahaja, adapun terhadap pemberi rasuah tidak diambil sebarang tindakan dengan alasan melindungi pemberi maklumat dan sebagainya.

Justeru, sudah pasti banyaklah senarai nama mereka yang menerima rasuah sahaja yang didedahkan. Adapun nama-nama pemberi rasuah pula diberikan perlindungan dan disembunyikan.

Oleh itu, tindakan yang tidak diambil terhadap punca dan sebabnya, laksana usaha menghadapi nyamuk yang berbahaya sekadar merawat orang yang menjadi mangsanya dan membunuh nyamuknya sahaja. Dalam pada itu, tetap membiarkan longkang yang banyak membiakkan nyamuk tanpa diuruskan.

Hukum Islam terhadap kesalahan rasuah ialah hukuman takzir yang bersifat mendera dengan cara mendidik pelakunya, sama ada penerima atau pemberi dan juga untuk mendidik masyarakat. Hukumannya adalah setimpal dengan kadar kesalahan dan benar-benar memberikan pengajaran, mengikut budi bicara dan kebijaksanaan pihak penguatkuasaan atau badan kehakiman.

Kita menyaksikan kadang-kadang undang-undang manusia menetapkan hukuman yang bersifat tidak mendidik dan tidak menakutkan. Hal ini demikian kerana, denda yang dikenakan adalah dengan bayaran yang lebih murah. Bahkan, lebih murah daripada kadar rasuah yang diambil.

Selain itu juga, berpunca daripada tempoh pemenjaraannya dalam kerehatan, bukannya mendera dan mendidik. Maka, individu yang melakukan rasuah itu masih bergembira dengan keuntungan hasil daripada pendapatan haramnya.

Islam mendidik bahawa seseorang yang beriman itu menyedari bahawa dirinya tidak akan terlepas daripada hukuman akhirat, sekiranya dia dapat melepaskan diri menggunakan orang lain bagi melepaskan diri daripada tindakan undang-undang di dunia. Hal ini demikian kerana, mereka hanya berjaya menipu atau menyembunyikan kesalahan yang dilakukannya atau sekadar menyalahgunakan kuasanya.

Adapun bagi mereka yang tidak beriman, tetap tiada kebaikan bagi diri dan keluarganya daripada harta yang haram itu.

Islam menetapkan suatu bentuk kawalan iman yang ditanamkan ke dalam perasaan dan hati nurani manusia. Perkara dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌إِنَّ ‌الْحَلَالَ ‌بَيِّنٌ، ‌وَإِنَّ ‌الْحَرَامَ ‌بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ.

“Sesungguhnya yang halal itu terang dan nyata, dan yang haram itu juga terang dan nyata. Antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (tidak nyata halal dan haramnya) yang tidak diketahui oleh orang kebanyakan. Maka, sesiapa yang memelihara dirinya dalam perkara syubhah itu bermakna dia dapat memelihara dirinya dari segi agama dan maruahnya.  Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Hal ini laksana seorang penggembala yang membawa haiwan ternakannya di sempadan larangan (ladang yang dilarang daripada memasukinya). Sesungguhnya, setiap raja yang berkuasa ditetapkan sempadannya dan sempadan Allah ialah perkara yang diharamkan. Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia itu ada segumpal daging yang mengawal dirinya. Jika segumpal daging itu baik, maka baiklah seluruh jasadnya; sekiranya segumpal daging itu buruk, maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah jantungnya (yang menggerakkan kehidupan dan perasaannya).” (Riwayat al-Bukhari 2051 dan Muslim 1599. Lafaz hadis bagi Muslim)

Demikianlah, Allah SWT menetapkan undang-undang yang berasaskan iman yang sebenar kepada-Nya dan juga perhitungan di alam akhirat. Kedua-dua aspek ini tidak akan dijumpai dalam undang-undang ciptaan manusia.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا٣٦

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan diminta pertanggungjawaban tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’: 36)

Ayat di atas menegaskan bahawa keseluruhan diri manusia berada di bawah pengawasan Allah SWT, sehinggakan tiada siapa pun yang dapat melepaskan dirinya.

Maka, Allah ialah Pencipta alam termasuklah yang menciptakan makhluk manusia adalah Maha Mengetahui akan petunjuk yang sebenar kepada manusia yang ditugaskan di alam dunia dalam segala urusan. Segala tanggungjawab mereka itu akan dibicarakan pada Hari Akhirat termasuklah melibatkan urusan harta.

Firman Allah SWT:

ءَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُواْ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسۡتَخۡلَفِينَ فِيهِۖ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَأَنفَقُواْ لَهُمۡ أَجۡرٞ كَبِيرٞ٧ وَمَا لَكُمۡ لَا تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلرَّسُولُ يَدۡعُوكُمۡ لِتُؤۡمِنُواْ بِرَبِّكُمۡ وَقَدۡ أَخَذَ مِيثَٰقَكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٨ هُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ عَلَىٰ عَبۡدِهِۦٓ ءَايَٰتِۢ بَيِّنَٰتٖ لِّيُخۡرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ بِكُمۡ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٞ٩

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kalian menguasainya sebagai wakil. Maka, orang-orang yang beriman antara kalian serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (7); Dan mengapa kalian tidak beriman kepada Allah? Sedang Rasulullah mengajak kalian untuk beriman kepada Tuhan kalian, dan Allah telah mengambil janji setia daripada kalian (untuk beriman); jika kalian hendak beriman (maka telah jelaslah dalil-dalilnya). (8); Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya (Nabi Muhammad) keterangan-keterangan al-Quran yang terang nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kalian daripada gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kasihan belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kalian. (9)” (Surah al-Hadid: 7-9)

Perjuangan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan diri daripada agama dalam urusan duniawinya, hanyalah bersifat kepura-puraan dan menipu dengan kenyataan berdegar-degar menentang rasuah. Akan tetapi, dalam senyap-senyap di belakangnya dikumpulkan berkali ganda banyaknya pendapatan rasuahnya bertopengkan proksi yang tersembunyi.

Segalanya adalah demi perjuangannya yang berkonsepkan matlamat menghalalkan segala cara. Mereka merasakan dirinya sangat bijak menipu rakyat, tetapi hakikatnya mereka itu menipu diri sendiri.

Pendedahan tentang salah laku rasuah dilakukan oleh bekas negara blok komunis dan sosialis. Hal ini berlaku apabila bekas para pemimpinnya yang paling tegas dan keras memerangi rasuah itu, tiba-tiba bermodal besar lebih daripada para pemimpin negara yang nyata sifat kapitalisnya selepas tamatnya era komunis dan sosialis.

Rasulullah SAW mendidik generasi awal menghadapi penyakit rasuah dengan melakukan pencegahan terhadap segala punca dan sumbernya. Hal ini ternyata berlaku, tatkala Baginda SAW menugaskan seorang sahabat bernama Ibn al-Lutbiyah RA daripada kabilah Azdi supaya pergi memungut hasil. Tiba-tiba, selepas itu Ibn al-Lutbiyah datang menyerahkannya dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَكُمْ، وَهَذَا أُهْدِيَ لِي.

“Wahai Rasulullah! Ini hadiah yang diberikan kepada kalian semua, dan hadiah ini pula diberikan kepadaku.”

Lalu Rasulullah SAW menegurnya:

أَفَلَا قَعَدْتَ فِي بَيْتِ أَبِيكَ وَأُمِّكَ، فَنَظَرْتَ أَيُهْدَى لَكَ أَمْ لَا؟

“Adakah sekiranya kamu tidak dilantik dengan tugas ini, maka hadiah ini akan diberikan kepadamu atau sebaliknya?

Lalu diikuti dengan khutbah yang disampaikan kepada seluruh para sahabat RA, antaranya Rasulullah SAW menyatakan:

فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا يَغُلُّ أَحَدُكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ.

“Demi Zat, jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya! Percayalah bahawa sesiapa dalam kalangan kalian yang mengambil harta bukan haknya, nescaya kelak pada Hari Kiamat harta itu akan dibawa atas tengkuknya bersama untuk dikira.” (Riwayat al-Bukhari 6636 dan Muslim 1832)

Seorang ulama’ meriwayatkan bahawa dia pernah menyaksikan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul Aziz meninggalkan harta pusaka sekadar beberapa ribu dinar sahaja, sebaliknya Khalifah sebelumnya pula meninggalkan harta berjuta-juta dinar. Anehnya, dia menyaksikan bahawa anak khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menjadi hartawan yang dermawan, namun disaksikan anak khalifah sebelumnya itu pula menjadi peminta sedekah.

Keadaan inilah yang dikatakan keberkatan harta yang halal menjadi pendidik dan penyumbang yang berfaedah, manakala harta yang tiada keberkatan itu tidak berguna walaupun banyak dan besar kekayaannya. Kini, kita bukan sahaja menyaksikan manusia yang gagal, bahkan juga menyaksikan  projek mega yang gagal akibat penyakit rasuah dan salah laku yang melanda.

Firman Allah SWT:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan yang melimpah-ruah, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada kalangan yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 96-99)

Iman yang menghasilkan sifat taqwa sahaja mampu mengatasi penyakit nafsu terhadap harta seperti rasuah.

Allah SWT juga membuka pintu taubat dan islah kepada hamba-Nya yang melakukan kesalahan. Atau manusia itu hanya menunggu seksaan-Nya, sama ada berupa bencana alam atau kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka sendiri.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Maka, Islam pada zaman keemasan pelaksanaannya yang sempurna, telah diterima kedatangannya ke seluruh pelosok dunia menjadi kerajaan penyelamat bukannya penjajah.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 20 Zulhijjah 1443 / 20 Julai 2022