Home Minda Presiden

Menegaskan sikap berstrategik terhadap AUKUS

109
SHARE

Minda Presiden PAS
MENEGASKAN SIKAP BERSTRATEGIK TERHADAP AUKUS


Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein mengatakan akan meminta pandangan China mengenai perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) baru-baru ini, adalah tidak bermakna bahawa Malaysia sudah berpihak. Akan tetapi, lebih bersifat kepada menunjukkan bahawa Malaysia tidak bergantung lagi kepada Barat. Suatu pendirian yang mencemaskan mereka yang harapannya masih bergantung kepada Barat.

Suatu kewajaran bagi Malaysia meminta penjelasan daripada China, kerana keutamaan yang sepatutnya dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu terhadap sikap negara serantau yang terdekat, bukannya merangkak ke negara yang jauh merentasi lautan dan benua.

Apatah lagi negara yang diketahui bahawa agenda penjajahannya belum lagi dipadamkan dan terkini dalam keadaan tercorot di Afghanistan dan Iraq. Lalu, mereka mengubah strategi dengan mengadakan pakatan baharu bernama AUKUS dan kita perlu berhati-hati terhadapnya.

Langkah ini diambil kerana tidak boleh diizinkan mengulangi sekali lagi sejarah tanah air ini menjadi pangkalan kepada negara asing yang jauh sebagai medan peperangan, demi keselamatan dan keamanan mereka, bukannya bagi kita di sini.

Jangan sekali lagi kita mengulangi sejarah perang dunia yang menunjukkan bahawa mangsa daripada negara yang menjadi medan berlakunya peperangan itu lebih besar angka korbannya daripada jumlah korban bala tentera penjajah yang datang.

Kita tidak boleh menjadi perisai pertahanan kepada mana-mana kuasa besar yang sering kali mencari negara untuk membina pangkalan yang jauh dari negaranya, semata-mata demi menjaga keselamatan mereka tanpa mempedulikan terhadap negara yang lain.

Pakatan yang diadakan ini menunjukkan kerakusan pihak yang terbabit dengan meletakkan seluruh dunia berada di bawah kawalannya, sehingga merangkumi ke Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Di samping itu, mereka juga membawa segala senjata pemusnah yang akan memusnahkan manusia dan alam sekitar. Oleh itu, negara serantau perlu bergabung tenaga bagi menghadapi cabaran ini sebelum ditimpa padah yang akan menjadi suatu bencana kelak.

Kerjasama keamanan dan perdamaian patut diutamakan, bukannya kerjasama ketenteraan yang bertujuan menegangkan keadaan dan memanaskan hubungan antarabangsa. Sehingga akhirnya boleh menyebabkan terbakar hangus.

Pengalaman daripada campur tangan secara langsung oleh kuasa besar itu di Iraq, Afghanistan dan beberapa buah negara Afrika, sepatutnya menjadi pengajaran untuk kita memahami tujuan yang sebenarnya demi menjaga kepentingan negara besar itu sahaja. Apabila mereka menemui kegagalan, negara yang menjadi pangkalannya ditinggalkan bagi menyelamatkan diri mereka sahaja. Adapun tuan rumah yang menjadi pangkalannya pula menjadi mangsa, laksana pelanduk yang mati di celah gajah yang sedang berlawan.

Negara Barat sekali-kali tidak layak menjadi penyelesai kepada masalah serantau yang dihadapi oleh Asia sekiranya terdapat sebarang masalah. Sepatutnya negara-negara serantau menyelesaikan masalah mereka sendiri melalui pakatan kerjasama setempat. Mereka hanya mementingkan dirinya sahaja dan tidak boleh menaruh harapan yang baik dan ikhlas.

Protes yang ditunjukkan oleh Perancis adalah disebabkan oleh pembatalan pembelian kapal selamnya oleh Australia yang beralih kepada Amerika. Keadaan tersebut sebenarnya menunjukkan betapa kepentingan diri masing-masing lebih diutamakan, walaupun berada dalam satu blok dan satu pasukan yang sama. Justeru, bagaimana mungkin boleh diberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga kepentingan kita di sini.

Maka, sikap memilih keutamaan perlu diambil dengan mengambil mudarat yang lebih ringan dan kecil melalui pendekatan memandang kepada kedudukan serantau terlebih dahulu. Bukannya bermain mata dengan menjemput negara jauh yang telah tewas dan telah meninggalkan pangkalannya, dan sekarang sedang mencari pangkalan yang baru.

Ketegangan hubungan dagang antara Amerika Syarikat dengan China telah mencetuskan perang dingin yang baru, dan kemungkinan semakin panas membakar lagi selepas ini. Keadaan tersebut berlaku kerana China dianggap mencabar keangkuhan Barat yang sudah lama berkuasa dan mahu berkuasa sepanjang hayat.

Jangan sama sekali mengheret kita menjadi pembekal dan penjana kekuatan Barat. Sepatutnya kita membina kekuatan sendiri dengan mengadakan kerjasama serantau yang adil dan saksama, bukannya memonopoli dan menjajah. Zaman kini bukan lagi masanya manusia membinasakan diri sendiri dengan pertembungan dan pencerobohan.

Sebenarnya rantau ini mempunyai aset yang mencukupi, tenaga manusia yang ramai, sumber alam dan pasaran yang banyak, sekiranya kerjasama dapat dilakukan tanpa berpakat untuk mengancam keamanan dunia yang sering kali menjadi agenda negara Barat yang rakus.

Dunia sentiasa berpusing dan berubah, malah kedudukan negaranya tidak kekal. Bahkan tidak akan ada mana-mana negara yang akan kekal menjadi kuasa besar buat selama-lamanya.

Maka, kita perlu berjuang ke arah meningkatkan kemampuan sendiri dan mengadakan hubungan dengan semua pihak, tanpa mengira negara blok Timur mahupun negara blok Barat. Secara tegas, kita menerima segala aspek yang positif dan menolak mana-mana polisi yang negatif serta melampau dalam hubungan antarabangsa.

Tanggungjawab dan peranan kita untuk menyelamatkan negara sendiri lebih diutamakan, jangan menjadi alat kepada campur tangan asing secara langsung atau tidak langsung. Maka perlulah mengutamakan hubungan dengan negara jiran dan serantau yang terdekat, selepas itu memandang kepada negara yang lebih jauh.

Jangan jadikan negara ini sebagai perisai kepada negara lain atau proksi bagi pihaknya melalui provokasi murahan yang boleh dibeli oleh mereka. Prinsip dan matlamat mereka hanya bertujuan menghalalkan segala cara dan pendekatannya sahaja.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Safar 1443 / 27 September 2021