Home Berita PAS Pahang

Mendapan pasir menjadi isu nelayan di Chendor

158
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

BESERAH, 12 Ogos :: Nelayan-nelayan di Kampung Chendor berdepan dengan masalah untuk mendaratkan bot-bot mereka di muara yang airnya sudah cetek kerana pemendapan pasir yang telah begitu lama.

Mereka terpaksa melabuhkan bot di kawasan yang digunakan oleh pelancong-pelancong atau pengunjung-pengunjung Pantai Chendor yang datang untuk beriadah, mandi manda dan sebagainya.

Penggunaan kawasan yang sama ini sedikit sebanyak telah mencacatkan pandangan dan mengganggu aktiviti orang ramai yang berkunjung ke situ.

Isu ini telah diutarakan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Andansura Rabu semasa beliau turun bertemu dengan beberapa orang nelayan di Pantai Chendor baru-baru ini.

“Perkara ini telah lama kita ambil maklum dan telah diangkat kepada Kerajaan Negeri

“Ianya masih dalam peringkat perancangan dan mengambil masa sedikit kerana melibatkan kos yang tinggi untuk membuang pasir mendapan dan membina muara yang baru

“Kita akan cuba mencadangkan agar disediakan satu tempat khas untuk nelayan-nelayan melabuhkan bot-bot mereka yang tidak menganggu pengunjung-pengunjung yang datang berehat dan berkelah dengan keluarga di kawasan tersebut” kata Andansura.

Menurut beliau lagi isu kedua yang dibangkitkan adalah memohon untuk membina dan membaiki semula bangsal nelayan yang telah lama rosak kerana telah dua kali dihempap pokok dan sampai ke hari ini belum dibaiki.

“Saya akan cuba untuk membantu pembaikan bangsal, tempat mereka menyimpan pukat, membaiki bot dan sebagainya, maka saya telahpun meminta supaya dikira kos pembaikan dan cuba untuk menyelesaikannya dalam kadar yang segera,” tambahnya lagi.

Turut hadir bagi membincangkan isu-isu Persatuan Nelayan ini adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota Tengku Zaidi Tengku Musa, dan Ketua PAS Cawangan Chendor Mohd Fazil Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Chendor, Mohd Yasin Abdullah berkata pemendapan pasir tersebut telah berlaku lebih dari tujuh tahun yang lalu, dan ianya telah dibangkitkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia dan Persatuan Nelayan Kuantan.

Beliau mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab dapat membantu membaik pulih muara sungai dan pantai tersebut untuk nelayan-nelayan di Chendor.