Home Rencana PAS Pahang

Mencetak generasi Rabbani berjiwa Al-Quran dan As-Sunnah

Luar biasanya para Sahabat, hasil tarbiyah Rasulullah SAW.

109
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Luar biasanya para Sahabat, hasil tarbiyah Rasulullah SAW.

Fokus perhatian utama para sahabat adalah memahami risalah daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, mengetahui pokok isi kadungan pembicaraan, maksud-maksud nas serta tafsirannya dan mengamalkannya terus dalam kehidupan tanpa bertangguh.

Fokus perhatian utama mereka bukanlah hafalan. Para sahabat tidak dikenal sebagai orang-orang yang suka mengemukakan hafalan-hafalan, menyatakan berapa banyak jumlah hafalan-hafalan mereka dan bangga dengannya. Namun fokus terbesar mereka adalah terhadap pemahaman tentang isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri.

Namun, saat, jam, hari, bulan dan tahun berlalu terlalu cepat. Sekarang kita sudah berada di era akhir zaman.

Bilangan penghafal-penghafal Al-Quran meningkat dan bertambah. Sekolah-sekolah tahfiz tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Hampir semua ibu bapa muslim sama ada golongan ahli agama atau tidak, ingin menghantar anak-anak mereka memasuki sekolah-sekolah tahfiz.

Satu kesedaran yang sungguh-sungguh luar biasa dan tidak disangka. Namun begitu ramai pula penghafal-penghafal akhir zaman ada yang setakat membilang-bilang jumlah hafalannya sahaja sedangkan pemahaman mereka terhadap isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri semakin lemah.

Perkara ini mesti dijadikan muhasabah kerana Islam perlukan ahli Al-Quran dan As-Sunnah yang baik hafalannya dan baik pemahamannya tentang isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri. Dari merekalah akan tersebar luasnya cahaya Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan setiap manusia di muka bumi ini dan tercetaknya generasi Rabbani berjiwa Al-Quran dan As-Sunnah.

Jadi, kaedah (metode) terbaik yang berkaitan dengan ilmu dan amal adalah kaedah para sahabat yang juga menjadi generasi pilihan, iaitu memusatkan hati pada nas dan menyelidiki sehingga faham akan maksud isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah dengan akal dan mata hati.

Moga sedikit huraian ini akan memberi pengajaran yang bermanfaat untuk kita semua. Umat Islam sentiasa berazam untuk mempelajari serta memahami dan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan.

Jom berazam untuk hafal dan belajar hingga faham Al-Quran dan As-Sunnah sempena  awal Muharam 1443H ini.

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ

Maksudnya:

“Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

KUANTAN

11 Ogos 2021.