Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Memburu Malam Lailatul Qadr

735
SHARE

ALLAH SWT berfirman,

“Sesungguhnya KAMI telah turunkan pada malam kemuliaan. Dan, tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan; Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: Ayat 1-5)

Seseorang yang melakukan ibadat pada malam Lailatul-Qadar seolah-olah dia sentiasa beribadat selama 83 tahun. Orang yang menghidupkan malam Lailatul-Qadar juga turut diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).”  (Muttafaqun alaih)

Martabat yang tertinggi dalam menghidupkan malam Lailatul-Qadar adalah dengan pelbagai ibadat sepanjang malam, seperti memohon ampun kepada ALLAH SWT, melakukan solat-solat sunat, membaca Al-Quran dan berdoa.

Dengan tegas Rasulullah SAW bersabda:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW sabdanya: “Sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai jenis ibadat yang lain), sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT , nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari r.a.).

Sedar tak sedar kita telah masuk ke 10 malam akhir Ramadhan. Sungguh masa berlalu begitu pantas tanpa mengenal usia, pangkat, darjat dan sesiapa sahaja. Moga kita antara insan yang sentiasa memanfaatkan masa demi untuk redhaNya, kerja-kerja dakwah serta segala urusan yang menuju kebaikan insyaallah.

Usah dikenang Ramadhan yang telah berlalu pergi, teruslah melangkah melihat dan mengisi baki Ramadhan yang akan datang ini dengan segala kenikmatan, pahala yang berganda yang telah dijanjikan oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ayuh, semua muslimin muslimat walau di mana anda berada, terus bermunajat memohon kemaafan dariNya, terus menyumbang sedekah amal jariah, terus menginfakkan tenaga masa dan wang ringgit dalam bulan yang penuh berkat ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala amalan yang diberikan.

Jangan lupa doakan juga buat seluruh umat Islam di seluruh dunia yang tertindas, ditindas, yang ditimpa ujian yang sungguh berat ke atas keluarga mereka. Sesungguhnya ujian dan dugaan itu buat insan-insan yang terpilih dan yang mampu mengharungi segala rintangan.

Selamat menuai pahala di bulan Ramadhan mubarak! Insyaallah Allah tunaikan di akhirat kelak! Ameen.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Ramadhan 1438 H
15 Jun 2017

 

{jathumbnail off}