Home Rencana PAS Selangor

Membina keluarga besar Malaysia bersama PM ke 9 – Setiausaha BPPN Selangor

63
SHARE

May be an image of 1 person and text that says "TAHNIAH YAB DATO' SERI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB ATAS PERLANTIKAN SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KE-9"

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Pada satu malam dipenghujung bulan Febuari 2019, jam menghampiri 2.00 pagi saya dan para petugas sedang dalam perjalanan balik dari bilik gerakan PAS di DUN Semenyih menuju Shah Alam dan tiba-tiba handphone saya berdering. Saya ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS Selangor, dan yang memanggil saya adalah Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato Sri Ismail Sabri, tokoh yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke sembilan Sabtu lepas.

Calon Umno bertanding dalam PRK ketika itu atas tiket BN menentang calon PH. Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor dikuasai PH. Dan jentera Umno dibantu PAS atas platform Muafakat Nasional berhempas pulas untuk merampas kerusi ini.

Gigih Dato Sri Ismail menjalankan tugasnya walaupun beliau sepatutnya boleh sahaja tunggu keesokan hari atau mewakilkan kepada pegawai lain, tetapi masih mengawal Jentera BN dengan tekun tanpa putus asa. Ditakdirkan Allah SWT BN memenangi PRK ini dengan majoriti yang besar dan dari situ saya melihat kebolehan dan kepimpinan Dato Sri Ismail yang cukup bertenaga.

Hari ini tokoh ini adalah Perdana Menteri kita, dengan negara berhadapan ujian besar pandemik Covid 19 yang masih belum reda dan suasana politik yang cukup rapuh. Apakah Malaysia mampu melangkah ke hadapan di bawah teraju beliau?

Sesungguhnya Pelan Pemulihan Negara cetusan kerajaan PN bawah Tan Sri Muhyiddin sebelum ini cukup lengkap dalam mengurus dan menangani pandemik ini. Walaupun angka positif harian masih tinggi namun dengan meneyeluruhnya program vaksinasi negara dengan kadar vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia, tidak mustahil dengan kepimpinan yang cekap dan komited kita boleh mencapai sararan imuniti berkelompok sebelum berakhir suku keempat tahun 2021 ini.

Dalam ucapannya yang pertama selaku PM, Dato Sri Ismail telah menegaskan akan meneruskan program yang sedia ada selain memperkasakannya bagi memastikan pelan pemulihan yang dirancang akan menepati sasarannya.

Jelas terpancar komitmen beliau untuk meneruskan perjuangan menghadapi pandemik ini dengan mengembelikan keselesaan hidup rakyat dan kesejahteraan negara sebagaimana yang dinanti-nantikan semua.

Dengan kerjasama rakyat dan dukungan parti-parti dalam kerajaan selain pasukannya yang mantap, kejayaan mencapai imuniti kelompok sebagaimana dirancang akan tercapai di bawah kepimpinannya selaku PM.

Di tangan beliau juga adalah tanggungjawab memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik ini. Selaku PM beliau perlu memastikan negara bertenaga untuk bangkit kembali, dan di dalam ucapan beliau itu juga beliau telah memberi jaminan pada rakyat bahawa demi mengurangkan kesan ekonomi akibat pandemik ini kerajaan akan meningkatkan kuasa beli pengguna disamping mengangkat sektor swasta menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau lagi tumpuan akan diberikan pada usaha mengukuhkan asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Apa pun elemen yang lebih penting yang bakal menentukan bukan sahaja kejayaan kita menghadapi pandemik ini dan memulihkan ekonomi malah survival Dato Sri ismail sendiri sebagai PM adalah kemampuan menurunkan suhu politik dalam negara yang cukup kacau dan gawat.

Seruan PM agar semua pihak terlibat dan memberi perhatian terhadap mengembalikan kestabilan politik perlu dipikul bersama oleh semua pihak termasuk dari pihak pembangkang. Tambah PM semua pihak perlu berlapang dada dengan mencungkil segala persamaan dan tidak menggali perbezaan.

Kegawatan politik dalam negara kebelakangan ini berpunca dari permainan politik yang keterlaluan dan berlebih-lebihan sehingga menganggu segala usaha bagi menangani pandemik yang kita hadapi ini termasuklah usaha memulihkan ekonomi negara.

PM dalam ucapannya mahukan rakyat meleraikan segala perebutan kuasa politik dan fokus dalam kerja menghadapi cabaran semasa dengan berjuang bagaikan sebuah keluarga Malaysia yang besar. Hanya pemimpin yang berjiwa besar sahaja yang mampu membuat saranan seumpama ini.

Lantas sudah tiba masa dan ketikanya buat rakyat agar memberikan kerjasama sepenuhnya pada kerajaan dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan adu-domba dan hasutan pihak pembangkang yang semata-mata gilakan kuasa, pangkat dan kedudukan. Dato Sri Ismail telah pun diangkat sebagai PM oleh Agong lantaran memiliki sokongan dari 114 daripada 220 ahli Parlimen. 114 adalah angka yang selesa sedangkan majoriti mudah adalah 111.

Oleh itu, cukup-cukuplah berpolitik dan marilah kita tumpukan pada tugas yang lebih kritikal di hadapan kita. Pihak pembangkang sewajarnya menjadi pembangkang yang konstruktif dengan mengemukakan saranan dan pandangan yang membina bukannya menuding jari dan mencari salah orang.

PM dengan jiwa yang besar dan atas semangat kekeluargaan tadi turut menawarkan penglibatan wakil-wakil pembangkang di dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) selain turut menganggotai Jawatankuasa Khas Menangani Covid 19.Gunakanlah kesempatan ini untuk kebaikan rakyat dan negara bukannya untuk kepentingan politik.

Inisiatif ini membuktikan keterbukaan PM dan jika ianya ditolak juga oleh pembangkang bermakna mereka tidak berminat untuk memulihkan atau membina semula negara, sebaliknya hanya taksub mahu merampas dan mengambil-alih kuasa.

Kita mengharapkan agar PM juga turut terlibat aktif dalam membina dan memperkasakan kekuatan parti-parti yang mendukung kerajaan pada hari ini agar ia disusun dan dibentuk kembali menjadi lebih kukuh dan mampu membawa kemenangan yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke 15 nanti.

Segala perbezaan dan perselisihan antara PAS, Umno, Bersatu, GPS dan lain-lain parti perlu dileraikan dan Dato Sri Ismail perlu memain peranan agar keluarga besar politik ini dapat didamaikan dan
bermuafakat demi kepentingan rakyat dan negara di masadepan.

Kita perlu ingat bahawa sebarang kelemahan atau kekurangan kita akan mengakibatkan PH yang didominasi DAP kembali berkuasa, ini sudah pasti akan mengelapakan masa depan agama dan bangsa.

Lantas dalam kita mengalu-alukan Dato Sri Ismail Sabri sebagai PM ke 9, ayuhlah kita mengambil tekad mendamaikan dan membina kembali keluarga besar perpaduan ummah ini. Kita tidak punya banyak masa, kini peluang diberikan semula pada kita untuk mencorakkan haluan dan hala tuju, jangan sesekali mengecewakan harapan besar umat Melayu Islam terhadap kita.

Tahniah Dato Sri Ismail Sabri Yaakub, moga Allah SWT kurniakan kekuatan kepada YAB untuk bangkit berdiri sebagai pemimpin ummah yang bersih, berwibawa, berintegriti dan bertenaga bagi menyelamatkan rakyat dan negara.

25 Ogos 2021 | 16 Muharram 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor